KOTA KINABALU: Pasukan Persatuan Bola Sepak Daerah (PBD) Kota Kinabalu muncul juara kategori Bawah 12 Tahun (U12) pada edisi pertama Kejohanan Rhinos Cup 2026 selepas menewaskan PBD Ranau 2-0 pada aksi final di Padang Fut8, Sembulan, semalam.
Kejohanan yang berlangsung selama dua hari bermula 31 Oktober itu disertai 19 pasukan PBD dari seluruh Sabah, membabitkan seramai 285 pemain muda.
Penganjuran oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Sabah (SAFA) dengan kerjasama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) itu bertujuan memperkukuh pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi, selain menjadi platform mengenal pasti bakat baharu negeri ini.
Dalam aksi penentuan tempat ketiga, PBD Kota Belud menewaskan PBD Keningau 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti.
Pengerusi Penganjur Rhinos Cup 2026, Rafie Robert, berkata kejohanan itu antara inisiatif penting SAFA dalam memperkukuh sistem pembangunan dan pencarian bakat bola sepak remaja secara lebih sistematik di seluruh Sabah.
Beliau yang juga Naib Presiden IV SAFA merangkap Pengerusi Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Belia SAFA berkata, kejohanan itu bukan sekadar menyediakan ruang pertandingan kepada pemain muda, sebaliknya menjadi platform untuk mengenal pasti bakat berpotensi dari setiap daerah.
Katanya, SAFA mahu memastikan pemain berbakat, termasuk dari kawasan luar bandar, mendapat peluang sama untuk menyerlahkan kemampuan masing-masing sebelum diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
Menurutnya, objektif utama Rhinos Cup 2026 adalah mengenal pasti dan memilih 18 pemain terbaik bagi mewakili Sabah ke Liga Remaja Kebangsaan yang dijadualkan berlangsung pada 28 November hingga 6 Disember ini di Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Gambang, Pahang.
“Melalui kejohanan ini, barisan kejurulatihan dan pencari bakat berpeluang menilai kemampuan pemain secara langsung dalam suasana pertandingan kompetitif.
“Kita berharap dapat membentuk pasukan yang benar-benar berdaya saing, selain membina asas pembangunan pemain muda yang lebih kukuh untuk masa depan bola sepak Sabah,” katanya.
Rafie turut merakamkan penghargaan kepada semua persatuan bola sepak daerah, pengurus pasukan, jurulatih, ibu bapa dan jawatankuasa penganjur atas kerjasama serta komitmen yang diberikan bagi memastikan kejohanan berlangsung lancar.
Beliau mengucapkan tahniah kepada PBD Kota Kinabalu atas kejayaan muncul juara, selain PBD Ranau, PBD Kota Belud dan PBD Keningau yang masing-masing menduduki tempat kedua hingga keempat.
Katanya, kejayaan penganjuran kejohanan itu bukan hanya dinilai berdasarkan keputusan pertandingan, tetapi turut merangkumi peluang yang diberikan kepada 285 pemain muda untuk mengembangkan bakat serta menimba pengalaman dalam pertandingan kompetitif.
“Pembangunan bola sepak Sabah perlu bermula dari peringkat akar umbi dengan penglibatan aktif semua persatuan daerah sebagai tunjang utama,” katanya.
SAINGAN U15 BERSAMBUNG 7 NOVEMBER
Sementara itu, saingan Rhinos Cup 2026 akan diteruskan menerusi kategori Bawah 15 Tahun (U15) pada 7 hingga 8 November ini di Padang SUKMA, Likas, dengan penyertaan 20 pasukan dijangka memeriahkan kejohanan.
Rafie berharap kejohanan itu terus mendapat sokongan semua pihak, khususnya persatuan daerah, ibu bapa, komuniti bola sepak dan agensi berkaitan bagi memastikan usaha pembangunan bola sepak remaja Sabah dapat dilaksanakan secara konsisten.
Beliau berkata, SAFA berharap Rhinos Cup dapat berkembang menjadi antara kejohanan pembangunan bola sepak remaja berprestij di Sabah dan dianjurkan secara berterusan pada masa hadapan.
“Kita mahu melihat lebih ramai bakat muda Sabah dilahirkan melalui platform seperti ini sebelum mampu bersaing dan menyerlah di pentas kebangsaan,” katanya.
PBD Kota Kinabalu muncul sebagai juara RHINOS CUP 2026 (U12), diikuti PBD Ranau sebagai naib juara. PBD Kota Belud menduduki tempat ketiga, manakala PBD Keningau berada di tempat keempat.-pr/BNN





