KENINGAU: Kejayaan Sabah Net Sdn Bhd menerima pengiktirafan menerusi Pikom Digital Excellence Awards 2026 membuktikan keupayaan syarikat itu dalam memperkukuh pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta memperluas ekosistem digital di Sabah.
Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor (PKMB), Haji Yazid Haji Mohd Hasnan Tawik @ Charles, berkata pengiktirafan itu mencerminkan komitmen, keupayaan dan kesungguhan Sabah Net dalam memacu pembangunan digital negeri.
Beliau berkata, peranan Sabah Net kini semakin penting dan strategik, bukan sahaja sebagai penyedia infrastruktur rangkaian serta kesalinghubungan internet, malah sebagai pemangkin pembangunan ekonomi digital, inovasi teknologi dan peningkatan kemahiran digital masyarakat, khususnya generasi muda.
“Saya melihat usaha Sabah Net memperluas akses digital, termasuk di kawasan luar bandar, sebagai langkah penting bagi memastikan rakyat Sabah tidak ketinggalan dalam arus transformasi teknologi yang semakin pesat.
“Usaha ini juga selari dengan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menekankan pembangunan ekonomi, kesejahteraan rakyat dan pembangunan modal insan sebagai asas kemajuan negeri,” katanya, hari ini.
Yazid turut menyifatkan pelaksanaan lebih 1,000 inisiatif pembangunan ekosistem digital yang memberi manfaat kepada lebih 68,000 penduduk sepanjang tempoh 2021 hingga 2026 sebagai pencapaian membanggakan yang wajar diberikan penghargaan.
Katanya, pelaksanaan program seperti CyberChallenge, eSports, teknologi dron, Internet of Things (IoT), Augmented Reality (AR) dan Virtual Reality (VR) membuktikan Sabah Net turut memberi perhatian kepada pembangunan bakat, kreativiti serta keupayaan teknologi dalam kalangan anak muda Sabah.
Beliau berkata, usaha memperkukuh infrastruktur digital dan memperluas literasi teknologi perlu diteruskan secara konsisten bagi memastikan masyarakat di kawasan pedalaman dan luar bandar turut menikmati peluang sama dalam ekonomi digital.
“Sabah Net diharap dapat terus memperluas kerjasama strategik dengan kerajaan negeri, agensi kerajaan, institusi pendidikan, sektor swasta dan komuniti bagi membuka lebih banyak peluang dalam bidang inovasi, keusahawanan digital serta pembangunan bakat tempatan,” katanya.
Yazid berkata, Sabah mempunyai potensi besar untuk berkembang sebagai antara pemain penting dalam ekonomi digital serantau, justeru pembangunan ekosistem digital yang kukuh menjadi keperluan bagi memastikan negeri ini terus berdaya saing.
“Saya percaya dengan kepimpinan dan komitmen Datuk Azman Ruslan selaku Pengerusi Sabah Net serta seluruh warganya, syarikat ini mampu memainkan peranan lebih besar dalam menyokong aspirasi SMJ dan membawa manfaat pembangunan teknologi secara lebih menyeluruh kepada rakyat.
“Sabah mempunyai potensi besar dalam ekonomi digital dan usaha memperkukuh ekosistem ini perlu diteruskan bagi memastikan lebih ramai rakyat mendapat manfaat daripada kemajuan teknologi,” katanya.
Beliau sekali lagi mengucapkan tahniah kepada Azman Ruslan, serta seluruh warga kerja syarikat itu atas kejayaan berkenaan, sambil berharap pengiktirafan itu menjadi pemangkin untuk terus meningkatkan kecemerlangan dan memperkukuh kedudukan Sabah dalam landskap digital negara..-pr/BNN





