KOTA KINABALU: Tiga buah Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) memohon Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) menanggung semua kos perbelanjaan perwakilannya ke Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) NAFAS ke 45 Tahun 2018 yang akan diadakan di Putrajaya pada 19 Mac 2019.
Pengerusi PPN Sabah Dato Mohd.Nazri Abdullah berkata, perkara itu telah diputuskan dalam Mesyuarat Ahli Jemaah Pengarah (AJP) PPN Sabah, hari ini.
Katanya, ini memandangkan PPN tidak mempunyai peruntukan khas untuk menanggung kos perbelanjaan perwakilan ke MAT NAFAS 2018 yang diadakan untuk kali kedua.
Kali pertama NAFAS memanggil MAT ke 45 Tahun 2018 ialah pada bulan Disember 2018 semasa Perlembagaannya digantung oleh Pendaftar yang juga Ketua Pengarah (KP) Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Haji Hamzah Bahari.
Bagaimana pun MAT itu tidak dapat diadakan setelah perwakilan daripada seluruh negara yang hadir mempersoalkan punca kuasa yang digunakan oleh jawatankuasa pentadbir NAFAS yang dilantik oleh KP LPP, Haji Hamzah Bahari untuk memanggil MAT.
Mohd Nazri berkata, PPN telah membelanjakan peruntukan khusus yang diluluskan untuk menghantar perwakilan ke MAT NAFAS pada bulan Disember 2018.
“Justeru untuk MAT NAFAS tahun 2018 panggilan kali ke 2, PPN Sabah tidak mempunyai peruntukan untuk dibelanjakan bagi tujuan itu, tahun ini”, katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, Pengurus Besar (GM) PPN akan menulis surat kepada GM NAFAS bagi memohon pihaknya menanggung keseluruhan kos perbelanjaan perwakilan ke MAT panggilan kali kedua ini.
Sementara itu Pengerusi PPN Sarawak, Datuk Sylvester Entri Muran berkata, perwakilan Sarawak juga akan berbuat demikian.
Katanya, PPN Sarawak juga seperti PPN Sabah tidak mempunyai peruntukan khusus bagi menghantar perwakilan ke MAT NAFAS 2018 yang diadakan untuk kedua kali.
“Kecuali KP LPP memberi kelulusan khas secara bertulis kepada PPN untuk menggunakan kewangan PPN bagi menanggung perbelanjaan itu”, katanya dalam satu kenyataan.
Sementara PPN Wilayah Persekutuam Labuan juga akan memohon kepada NAFAS untuk menanggung segala perbelanjaan menghantar perwakilan ke MAT NAFAS.
Pengerusinya, Datuk Haji Yussof bin Haji Mohammad berkata, seperti PPN lain, PPN Labuan juga telah membelanjakan peruntukan yang diluluskan dalam tahun 2018 bagi membiayai kos penghantaran perwakilan ke MAT pada bulan Disember 2018.
“Untuk MAT NAFAS ke 45, 2018 pada Mac 2019 ini, PPN Labuan tidak mempunyai peruntukan kewangan untuk menghantar perwakilan, kecuali ianya dibiayai oleh NAFAS.
“Kita juga akan menulis surat kepada GM NAFAS memohon pihaknya menanggung semua kos perbelanjaan tersebut”, katanya.-pr/BNN: