KOTA KINABALU: Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan turut melahirkan simpati mereka terhadap pegawai-pegawai kanan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) yang dianiaya dan ditindas oleh Ketua Pengarah LPP semasa perlembagaan NAFAS digantung.
Pengerusi PPN Sarawak, Datuk Sylvester Entri Muran berkata, pegawai-pegawai kanan NAFAS yang dianiaya itu tidak wajar diperlakukan sedemikian rupa.
“Mereka adalah kakitangan NAFAS dan bukan pegawai LPP, justeru adalah tidak wajar jawatankuasa pentadbir sementara yang dilantik oleh KP LPP selaku pendaftar, menggantung jawatan, menurunkan pangkat atau menempatkan mereka ke jawatan yang lain”, katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sylvester berkata demikian sebagai menyokong kenyataan Pengerusi PPN Sabah, Datuk Mohd Nazri Abdullah yang menyuarakan simpati terhadap pegawai yang telah dianiaya oleh KP LPP, Haji Hamzah Bahari.
Menurut Mohd.Nazri dalam tempoh penggantungan dari 1 Jun 2018 sehingga 14 Januari 2019, Hamzah yang juga pendaftar sepatutnya tidak mempunyai kuasa untuk menggantung tugas atau menukar penempatan pegawai kanan NAFAS.
Katanya ini kerana Hamzah telah secara tidak sah dan tidak munasabah menggantung Perlembagaan NAFAS tanpa alasan-alasan yang sah di sisi undang-undang.
“Ini kerana penggantungan perlembagaan tersebut tidak mengambilkira peruntukan undang-undang sedia ada, terutama seksyen 19 dan 20 Akta Pertubuhan Peladang 1973 (Akta 109).
“Tindakan penggantungan oleh pendaftar/KP LPP bererti NAFAS diharamkan untuk menjalankan apa-apa urusan seperti dinyatakan dibawah seksyen 22 Akta 109. Justeru Jemaah Pengarah NAFAS tidak mempunyai sebarang kuasa terhadap NAFAS”, katanya baru-baru ini.
Katanya, dalam tempoh penggantungan itu juga KP LPP (Pendaftar) telah dengan salah dan tidak munasabah, tanpa mengendahkan kepentingan NAFAS dan anggota-anggotanya, telah melantik beberapa individu sebagai pentadbir untuk mengurus NAFAS.
Mohd.Nazri berkata, jawatankuasa pentadbir yang dilantik itu adalah tidak mempunyai hak untuk menerajui NAFAS sewaktu tempoh penggantungan, apatah lagi menggantung tugas atau menukar penempatan pegawai-pegawai kanan NAFAS.
Menurutnya, jawatankuasa pentadbir yang dilantik KP LPP itu sepatutnya bertindak sebagai pentadbir sementara (temporary caretaker) bagi NAFAS dan bukannya mengambilalih kuasa Jemaah Pengarah serta menjalankan aktiviti perniagaan dan transaksi.
Sylvester berkata, PPN Sarawak bersimpati dengan nasib pegawai-pegawai NAFAS yang menjadi mangsa penindasan pentadbir sementara dan pendaftar.
Sementara itu Pengerusi PPN Labuan,
Datuk Haji Yussof bin Haji Mohammad yang menyokong kenyataan Mohd.Nazri berkata, Jawatankuasa Pentadbir sementara semasa penggantungan perlembagaan NAFAS sepatutnya sedar akan kuasa mereka.
“Tindakan Jawatankuasa Pentadbir menggantung dan menukar pegawai kanan NAFAS adalah tidak wajar dan salah dibawah peruntukan undang-undang.
“PPN Labuan mensyorkan pegawai-pegawai NAFAS yang menjadi mangsa kekejaman pendaftar dan pentadbir sementara agar mengambil tindakan undang-undang.
“Mereka perlu berbuat demikian (tindakan undang-undang) demi keadilan untuk mereka”, katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Difahamkan pegawai kanan NAFAS yang menjadi mangsa salah guna kuasa KP LPP dan Pentadbir yang dilantik termasuklah Pengurus Besar (GM), Timbalan-Timbalan GM dan juga pengurus-pengurus organisasi itu.
Mengenai kegagalan Pentadbir Sementara (temporary caretaker) mengurus operasi NAFAS, Yussof berkata mereka perlu bertanggungjawab terhadap sebarang salah guna kuasa yang telah mereka lakukan.
“Sebarang kerugian yang dialami oleh NAFAS semasa dibawah jagaan pentadbir sementara dan pendaftar, mereka harus bertanggungjawab. Ini kerana mereka sepatutnya menjaga kepentingan NAFAS dan pemegang-pemegang sahamnya”, tegasnya.
NAFAS merupakan sebuah organisasi yang sahamnya dimilik oleh 14 buah Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) di negara ini.
PPN pula dimiliki oleh Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan ahli-ahli perseorangan di unit-unit peladang di kampung-kampung di kawasan luar bandar.
NAFAS bergerak sendiri dengan menggunakan duit pemegang Saham. NAFAS bukan agensi kerajaan,ia adalah sebuah entiti sendiri yang didaftarkan dibawah Akta 109, 1973 dimana Ketua Pengarah (KP) Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) bertindak sebagai pendaftar. Sementara LPP bergerak dibawah Akta 110.
NAFAS dan LPP adalah dua organisasi yang berbeza dan NAFAS tidak bertuankan LPP kerana LPP hanya sebagai pendaftar dan bukan pemegang saham.-pr/BNN