Kerajaan perlu lantik pegawai PTD sebagai KP LPP untuk pulihkan NAFAS, harmonikan LPP

0

KOTA KINABALU: Masa depan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) akan bertambah malap sekiranya kerajaan terus membenarkan pegawai lama Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) mengetuai pertubuhan itu.

Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Sabah, Datuk Mohd Nazri Abdullah mendakwa, ini kerana Ketua Pengarah (KP) LPP (selaku pendaftar Pertubuhan Peladang (PP) ) Haji Hamzah Bahari yang akan bersara wajib pada 3 Mac 2019 dan Timbalan KP, Azulita Salim merupakan individu yang telah menyebabkan NAFAS menuju ke lembah kehancuran.

Katanya, NAFAS yang dahulunya mencatat keuntungan berterusan setiap tahun dari 2007 hingga 2017 sehingga merekodkan keuntungan beratus juta ringgit, kini dalam keadaan tenat.

“Sehinggakan mahu membayar hutang pun susah. Ini diakui sendiri oleh Pengerusi NAFAS yang baharu Datuk Ir. Phahrorazi semasa pertemuannya bersama Pengerusi-Pengerusi PPN di bangunan NAFAS baru-baru ini. Menurutnya LPP masih belum membayar hutangnya bernilai ratusan juta ringgit kepada NAFAS”, katanya.

Beliau berkata, NAFAS kini berada dalam keadaan yang tenat disebabkan tindakan Hamzah yang menggantung perlembagaan NAFAS pada Jun 2018.

“Hamzah dan Azulita yang mempunyai rekod menyebabkan anak syarikat NAFAS iaitu Permodalan Peladang Berhad (PPB) mengalami kerugian semasa mereka masing-masing memegang jawatan Pengurus Operasi dan Pengurus Kewangan pada tahun 1995.

Hamzah kemudiannya dinaikkan pangkat ke jawatan Pengurus Besar sehingga tahun 2005. Manakala Azurita dipindah ke LPP pada tahun 2004.

“Umum dan pengarah-pengarah serta semua kakitangan LPP/NAFAS mengetahui bahawa semasa Hamzah dan Azurita menerajui PPB, syarikat itu mengalami kerugian yang besar”, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd. Nazri berkata, kedua-dua mereka merupakan individu yang sangat berkuasa di LPP, telah menggunakan kedudukan itu menggantung Perlembagaan NAFAS bagi memusnahkan pertubuhan itu yang
prestasi perniagaannya sangat baik setiap tahun.

Katanya, ini kerana alasan penggantungan yang diberikan oleh Hamzah selaku pendaftar ialah kononnya telah berlaku salah laku dalam pengurusan dan juga perkara serius dalam NAFAS.

“Dengan penggantungan perlembagaan NAFAS dari Jun 2018, Hamzah telah melantik pegawai LPP (Razana Ghazali) sebagai Ketua Pentadbir yang kononnya untuk memulihkan keadaan NAFAS.

“Namun sebaliknya yang berlaku ialah Hamzah, Azulita bersama-sama Jawatankuasa Pentadbir sementara yang dilantik mentadbir NAFAS telah menggunakan kuasa mereka seolah-olah perlembagaan NAFAS belum digantung. Tindakan dan salah laku mereka telah menyebabkan NAFAS mengalami kerugian berjuta ringgit.

“Sekiranya Hamzah, Azulita dan Pentadbir Sementara NAFAS yang dilantik oleh Hamzah mendakwa pengurusan lama NAFAS melakukan salah laku sehingga menyebabkan perlembagaannya digantung, kenapa mereka tidak dapat memaklumkan kepada umum khususnya ahli-ahli peladang seluruh negara apa yang mereka temui ?

“Malah difahamkan mereka ada bercakap dalam majlis penerangan yang sepatutnya Mesyuarat Agung NAFAS (tetapi tidak dapat diadakan kerana tiada punca kuasa) menyerang Ahli Jemaah Pengarah (AJP) dan kakitangan NAFAS dengan berbagai tuduhan tidak berasas yang bersifat berat sebelah.

“Yang mana kes Hamzah, Azulita dan Razana Ghazali (Ketua Pentadbir) yang menyerang dan membuat tuduhan tidak berasas yang berat sebelah ini, kini sedang dalam pemerhatian dan pertimbangan peguam untuk dibawa ke pengadilan.

“Mereka tidak wajar berlindung di sebalik nama “PENDAFTAR” kerana pada situasi sekarang, tidak ada ahli-ahli peladang yang takut. Sekiranya mereka melakukan kesalahan, maka mereka hendaklah menanggung sendiri akibatnya”, tegasnya.

Mengikut Seksyen 24A(2) Akta 109 Pertubuhan Peladang 1973, mana-mana individu yang menyebab kerugian kepada NAFAS, akibat penggantungan itu, maka mereka boleh dikenakan ‘surcharge’  dibawah seksyen tersebut.

Serentak itu, Mohd Nazri bertanya kepada Hamzah, sekiranya beliau mendakwa semua tindakannya terhadap NAFAS adalah betul, kenapa beliau membenarkan MAT NAFAS dipanggil pada 20 Disember 2018 (semasa penggantungan perlembagaannya) sedangkan tiada punca kuasa pihaknya berbuat demikian.

“Akibat daripada kesilapan beliau dan jawatankuasa pentadbir, para perwakilan dari PPN seluruh negara yang telah dipanggil menghadirinya.

Bagaimanan pun MAT 2018 tidak dapat diadakan kerana Razana atas arahan KP LPP yang memanggil MAT tidak mempunyai punca kuasa untuk berbuat demikian. Ini diakui sendiri oleh Hamzah semasa menjawab soalan perwakilan mengenai punca kuasa MAT itu.

“Perbuatan (memanggil MAT 2018 pada 20 Disember 2018) adalah satu kesalahan, sebaliknya Razana masih menyatakan tindakan mereka adalah betul.

“Kesilapan yang tidak harus  berlaku itu telah menyebabkan NAFAS dan PPN menanggung kerugian yang besar. Hamzah dan jawatankuasa pentadbir sementara perlu bertanggungjawab terhadap semua kerugian yang dialami itu”, tegasnya.

Mohd Nazri yang pernah menjadi Ahli Jemaah Pengarah  NAFAS selama 23 tahun bermula 1995 sehingga perlembagaan NAFAS digantung berkata, berdasarkan fakta itu, maka Kerajaan tidak wajar menyambung  perkhidmatan Hamzah secara kontrak.

Sekiranya Hamzah tidak disambung perkhidmatannya, maka Azuliti juga tidak layak memegang jawatan KP kerana kini telah wujud banyak kem (puak) dalam LPP. Ini sesuatu yang amat tidak sihat bagi sebuah agensi kerajaan yang di panggil Lembaga Pertubuhan Peladang.

Mohd Nazri mencadangkan Kerajaan khususnya Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani melantik Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) sebagai KP LPP bagi memulihkan imej, mengharmonikan balik dan keyakinan ahli-ahli peladang terhadap LPP.

“Dengan perlantikan Pegawai PTD sebagai  KP LPP akan dapat mengharmonikan hubungan diantara LPP dan NAFAS , PPN, PPK serta ahli-ahli peladang seluruh negara”, tegasnya.

Katanya, KP LPP yang baru hendak individu yang prihatin, berintegriti dan sentiasa mengutamakan kepentingan dan kesejahteraan ahli-ahli peladang seluruh negara sebagai agenda utamanya.

Berdasarkan rekod, LPP dahulunya pernah mempunyai KP daripada kalangan pegawai PTD dan pegawai dari Jabatan Pertanian, mengambil contoh KP pertama LPP iaitu Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid kemudiannya Haji Khairi Mohamad, Abdullah Ujang dan Dato Pahamin Rajab.

“Sekiranyan individu yang dilantik sebagai KP LPP adalah individu yang mementingkan diri sendiri, tiada integriti dan mempunyai agenda peribadi, ini bukan sahaja akan merosakkan LPP, NAFAS malah PPN secara keseluruhannya.

“Perlantikan KP LPP dari kalangan PTD dilihat akan meletakkan perjalanan LPP dan Pergerakan PP pada landasan yang betul kerana pegawai PTD ini akan menjadi wakil kerajaan yang “neutral” untuk semak dan imbang fungsi LPP serta peraturan’peraturannya terhadap Pertubuhan Peladang adalah mengikut garis undang-undang yang betul dan tepat tanpa terpengaruh oleh apa-apa jua sentimen yang akan dimainkan oleh pegawai-pegawai sedia ada di LPP.

“Semestinya kepentingan dan agenda peribadi KP dari kalangan PTD tidak wujud kerana pegawai-pegawai kanan PTD ini adalah lebih terlatih dalam pengurusan dan tidak mudah dipengaruh dengan kem-kem serta apa jua gerakan yang telah wujud di zaman pentadbiran Hamzah.

“”Kerosakkan” yang telah dilakukan oleh Hamzah, Azulita dan kroni-kroninya dalam LPP keatas NAFAS perlu mengambil masa untuk dipulihkan, terutama keyakinan ahli-ahli peladang yang menjadi pemegang saham PPK”, tegasnya.

Mohd Nazri mendakwa, Hamzah dan Azulita duhulu telah merosakkan PPB, dan kini NAFAS dan LPP. Mereka berdua telah dikenali sebagai perosak dan bukan pembina.

“Justeru mereka tidak wajar diberi peluang untuk terus memegang jawatan dalam LPP. Malahan Azulita duhulu tidak diperakukan oleh Mesyuarat Lembaga Pengarah LPP untuk dilantik ke jawatan Timbalan Ketua Pengarah.

“Sebenarnya orang lain yang diperakukan, akan tetapi Pengerusi NAFAS ketika itu (Dato Seri Saipolbahari) dan beberapa orang Pengerusi PPN yang juga AJP NAFAS telah memohon kepada Menteri Pertanian (Datuk Ahmad Sabri Chik ) ketika itu, supaya Azulita dilantik sebagai Timbalan KP.

“Setelah dilantik menjadi Timbalan KP, apa yang telah beliau buat terhadap NAFAS? Walaupun tiada ucapan terima kasih daripada beliau diatas pertolongan yang telah diberikan, sehinggakan untuk menyampaikan surat penggantungan Perlembagaan NAFAS pun, Azulita tidak dapat menunggu sehingga Datuk Saipolbahari balik ke Malaysia daripada mengerjakan ibadah umrah.

“Justeru orang yang tidak pernah mengenang budi dan jasa, serta mempunyai rekod menyebabkan kerugian kepada PPB dan NAFAS ini kah yang hendak dilantik sebagai KP LPP? Kerajaan khususnya Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia perlu berfikir dan menganalisa semua aspek ini”, tegasnya.

Mohd. Nazri menegaskan, adalah tidak wajar Hamzah dan Azulita perlakukan NAFAS sedemikian rupa sedangkan mereka hanya Pendaftar PP dan bukan pemegang saham NAFAS.

NAFAS merupakan sebuah pertubuhan yang sahamnya dimilik oleh 14 buah Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) di negara ini.

PPN pula dimiliki oleh Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan ahli-ahli perseorangan di unit-unit peladang di kampung-kampung di kawasan luar bandar seluruh negara.

NAFAS menjalankan operasi dan perniagaan menggunakan modal dan dana sendiri dan tidak mendapat pembiayaan oleh Kerajaan, walaupun NAFAS ada mendapat kontrak pembekalan daripada kerajaan.

Ini berbeza dengan LPP, merupakan sebuah agensi kerajaan dengan keseluruhan dananya daripada kerajaan.

Sementara itu, difahamkan Azulita akan ke Sabah esok menggantikan Hamzah bagi menghadiri Mesyuarat Pengurusan Tertinggi Kementerian Pertanian (MOA) Malaysia di Kota Kinabalu.

Mesyuarat itu akan diadakan selama 2 hari di Kota Kinabalu.

Sehubungan itu, Mohd.Nazri mempelawa Azulita ke majlis jamuan teh di tempat yang akan ditentukan oleh Azulita, termasuk Hotel Le’ Meridien Kota Kinabalu, tempat penginapannya.-pr/BNN