Kerajaan hargai usaha memartabatkan bahasa ibunda melalui penulisan dan penerbitan buku- Ewon

0
122
Ewon menerima buku itu daripada Dr.Rosliah.

TANJUNG MALIM: Kerajaan Sabah sentiasa menghargai usaha memartabatkan bahasa ibunda melalui penulisan dan penerbitan buku, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick.

Ewon bersalaman dengan pelajar UPSI pada majlis itu.

Beliau berkata, usaha  untuk memartabatkan bahasa ibunda etnik-etnik Sabah sama penting dengan memperkasakan diri melalui penguasaan bahasa antarabangsa dan bahasa kebangsaan.

“Sebab itu, sejak dahulu saya konsisten memberi sokongan ke atas usaha yang diambil oleh pelbagai pihak terutamanya para pensyarah, guru dan mahasiswa bagi memperkasakan Bahasa Kadazandusun yang menjadi salah satu subjek dalam sistem pendidikan negara.

“Saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Dr Rosliah Kiting, Pensyarah Pengajian Bahasa Kadazandusun di Universiti Pendidikan Sultan Idris Perak (UPSI) kerana berjaya menghimpunkan 57 karya cerita etnik Kadazandusun dari seluruh Sabah dan dibukukan.

“Saya berbangga kerana menjadi sebahagian daripada penerbitan buku ini dan berharap lebih banyak lagi usaha sebegini dapat dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan perjumpaan dengan para pensyarah dan mahasiswa pengajian Bahasan Kadazandusun di UPSI, baru baru ini

Dalam perjumpaan tersebut, Dr Rosliah menyampaikan buku Tangga Burisan om Tangon Kadazandusun kepada Ewon sebagai simbolik pelancaran.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian dan Naib Presiden UPKO menyumbangkan peruntukan khas touchpoints sebanyak RM10,000 pada tahun lalu bagi membiayai kos penerbitan buku tersebut.

“UPKO telah berjuang memastikan pengajian dan pembelajaran Bahasa Kadazandusun terus berada dalam sistem pendidikan negara. Justeru, adalah menjadi tanggungjawab saya agar ianya dapat terus dimantapkan dan diperkasakan di peringkat sekolah sehingga ke universiti,” katanya.

Beliau turut menyatakan komitmen sokongan kepada beberapa lagi program yang akan dianjurkan oleh pelajar Program Bahasa Kadazandusun UPSI termasuk penganjuran Seminar Antarabangsa Kesusasteraan dan Kebudayaan Borneo dan Sambutan Kaamatan UPSI tahun ini.-pr/BNN