Pemimpin akar umbi harus jadi duta dan punya peranan besar dalam menjaga keselamatan

0
185
Ewon (duduk tiga dari kanan) dan Mohd Zaidi (duduk dua dari kanan) bergambar bersama para pegawai polis Kota Belud dan pemimpin akar umbi kawasan Kadamaian yang hadir pada majlis itu.

KOTA BELUD: Pemimpin-pemimpin akar umbi terutama Ketua Kampung dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) berperanan besar membantu pihak keselamatan menjaga keharmonian dan keselamatan di kawasan masing-masing.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata sebagai pemimpin peringkat akar umbi, mereka juga berperanan sebagai duta keharmonian dan keselamatan di kawasan masing-masing seterusnya memastikan keselamatan kampung mereka sentiasa terpelihara.

“Kita boleh menjadi sebahagian daripada penyelesaian masalah berkaitan jenayah keselamatan dan ancaman keharmonian bermula dengan diri sendiri dan di rumah kita sendiri.

“Misalnya memastikan diri kita, keluarga
dan rumah kita bebas daripada pendatang asing tanpa izin, bebas jenayah narkotik, bebas jenayah sivil lain dan bebas jenayah salah guna media sosial dan sebagainya.

“Begitu juga soal keselamatan dan keharmonian di kampung, daerah dan negara kita, ia adalah tanggungjawab bersama yang harus bermula dengan tindakan dan kesedaran diri kita,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan amanat sempena Program Taklimat Keselamatan Kepada Ketua-Ketua Adat dan Pengerusi-Pengerusi MPKK peringkat DUN Kadamaian yang disampaikan oleh Ketua Polis Daerah Kota Belud, Supt Mohd Zaidi Abdullah.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian menyeru para pemimpin akar umbi agar memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis dan pasukan keselamatan lain termasuk memberikan maklumat berkaitan keselamatan di kampung mereka.

“Ini penting kerana aspek keselamatan dapat menarik para pelancong datang berkunjung ke pusat-pusat eko pelancongan yang terdapat di seluruh DUN Kadamaian.

“Industri pelancongan luar bandar kita akan terus berkembang dengan adanya jaminan keselamatan para pelancong yang mahu datang. Kalau mereka rasa tidak selamat kerana laporan pelbagai kes jenayah dan berkaitan keselamatan yang lain, sudah tentunya mereka tidak akan datang. Akhirnya yang rugi ialah komuniti dan pengusaha eko pelancongan sendiri.

“Sebab itu kita mempunyai peranan yang besar di peringkat kampung memastikan jaminan keselamatan ini kepada para pelancong dan juga komuniti kita sendiri. Kita harus bekerjasama dengan pasukan keselamatan seperti polis,” katanya.

Sementara itu Mohd Zaidi berkata, taklimat itu bertujuan memberi penerangan kepada para pemimpin akar umbi mengenai peranan dan tanggungjawab bersama mencegah jenayah dan menjaga keselamatan di kawasan kampung.-pr/BNN