Pemberian IC kepada PATI tidak berlaku-Azis

0
116
Datuk Azis Jamman

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri menempelak pembangkang Sabah yang selama ini menuduh Parti Warisan Sabah (Warisan) memberi kad pengenalan (IC) kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) walaupun perkara itu sebenarnya tidak pernah berlaku.

Timbalan Menterinya, Datuk Azis Jamman berkata, masalah yang timbul di negeri itu ialah banyak kes rakyat tempatan berkahwin dengan warga asing tanpa didaftarkan menyebabkan anak yang dilahirkan perlu didaftar sebagai warga asing kerana telah ditetapkan oleh undang-undang negara.

Sehubungan itu katanya, dalam memastikan masalah berkenaan diselesaikan, kerajaan negeri ada mencadangkan program pemutihan bagi mengesan golongan berkenaan, namun langkah positif itu dijadikan modal politik pembangkang dengan tuduhan kononnya PATI diberikan IC.

“Isu ini sedang dimainkan oleh parti pembangkang kononnya Warisan sebagai parti yang beri IC kepada PATI.

“Isu dia, warga kita berkahwin dengan warga asing tetapi tidak didaftarkan dan hasilnya anak yang dilahirkan itu dikategorikan sebagai bukan warganegara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Dr. Jeffry Kitingan (Star-Keningau) dalam persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Jeffry dalam soalannya meminta kerajaan menjelaskan langkah-langkah yang diambil bagi mengatasi masalah kanak-kanak warga asing yang tidak dapat bersekolah di Sabah.

Mohd. Azis berkata, masalah itu cuba diselesaikan oleh kerajaan negeri, namun sukar kerana tuduhan-tuduhan liar yang dibuat pemimpin parti pembangkang.

“Kategori anak warga asing adalah yang paling banyak di Sabah, sebab itulah Ketua Menteri (Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal) ada mencadangkan program pemutihan utk membantu orang-orang ini tetapi bila mana niat dan nawaitu kita membantu mereka ini, kita pula dituduh sebagai parti menternak PATI dan bila ini berlaku membantutkan usaha kita untuk memutihkan orang-orang ini.

“Kita tahu ada masalah ini di Sabah tetapi kalau tiada keinginan politik untuk bantu kelompok ini, masalah ini tidak selesai,” tegasnya.-pr/BNN