KPLB Sabah rangka program ekonomi tambahan di kawasan mesej

0
Ewon bersama pegawai-pegawai pelbagai jabatan yang menyertai lawatan itu bergambar bersama peserta Mesej Minikodong matunggong

KUDAT: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah sedang merangka pelbagai Program Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) di perkampungan Mini Estet Sejahtera (MESEJ) di seluruh Sabah.

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, inisiatif tersebut adalah sebahagian daripada pendekatan penambahbaikan kepada program pembasmian kemiskinan melalui MESEJ.

“Sebahagian besar daripada program MESEJ ini melibatkan aktiviti perladangan kelapa sawit dan getah. Bagaimanapun, harga komoditi ini tidak konsisten. Pada ketika ini, harganya bukan berada dalam keadaan yang baik.

“Oleh itu, ada keperluan untuk memperkenalkan aktiviti ekonomi tambahan di kawasan itu. Antaranya penternakan burung wait, madu tantadan, eko pelancongan dan beberapa lagi aktiviti ekonomi lain yang boleh menjana pendapatan tambahan kepada para peserta.

“Daripada lawatan-lawatan kerja saya ke perkampungan MESEJ dan interaksi saya dengan para peserta berkenaan pendapatan mereka, nampaknya kita perlu merangka lebih banyak inisiatif untuk menambah pendapatan mereka. Sebab itu kita akan memperkenalkan Program Aktiviti Ekonomi Tambahan di kawasan-kawasan MESEJ ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas hasil lawatan kerja selama dua hari di MESEJ Getah Minikodong Matunggong, MESEJ Getah Barambangon Kudat, MESEJ Mikro Ternakan Balat di Kampung Tampakan Kudat, Pusat Usahawan Desa Kampung Perpaduan Ria Kudat, Pusat Memproses Minyak Kelapa Dara Kampung Kimihang Kudat dan Agropolitan Pulau Banggi.

Selain melawat, Ewon turut mendengar Taklimat Pembangunan Daerah oleh Pegawai Daerah Kudat Sabdin Ibrahim, Penolong Pegawai Daerah Matunggong Francis Chong dan Penolong Pegawai Daerah Kecil Pulau Banggi Ag Syairin Ag Bakar.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, melalui lawatannya di MESEJ Barambangon dan MESEJ Minikodong memang ada keperluan untuk mempelbagaikan aktiviti ekonomi dalam kawasan itu.

“Bagi tahun ini, kita akan menggunakan sebahagian daripada peruntukan sedia ada yang diperuntukkan kepada KPLB Sabah untuk program-program ekonomi tambahan di kawasan MESEJ.

“Manakala, bagi tahun hadapan, kita telah mengemukakan input khusus kepada Unit Perancang Ekonomi (UPEN) Sabah supaya inisiatif khusus ini dapat dibajetkan. Ini adalah antara lain hasil dapatan daripada Retreat KPLB Sabah yang telah diadakan pada bulan lepas,” katanya.

Dalam masa yang sama, katanya, KPLB Sabah juga akan menjadikan Pusat Keusahawanan Desa (PKD) sebagai satu contoh kejayaan pendekatan pembangunan usahawan luar bandar yang boleh dikembangkan ke daerah-daerah lain.

“Pendekatan ini bukan hanya dapat membangunkan para usahawan, tetapi mereka juga dapat memberikan peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat,” katanya.

Pusat Keusahawanan Desa Kudat menempatkan lapan bengkel usahawan iaitu Bengkel Memproses Mee, Makanan Ringan, Hasilan Laut, Produk Coklat, Kek dan Pastry, Seni Kraf Batik, Pengeluar Produk Kecantikan dan Bengkel Manik dan Kraftangan.

Menurut Ewon, hasil lawatan kerja sedemikian dapat membantu KPLB Sabah merancang dengan lebih baik program-program yang berkesan, praktikal dan mapan untuk dilaksanakan pada masa akan datang.

Turut serta dalam lawatan kerja itu ialah kedua-dua Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar, Dumi Pengiran Masdal dan Rasinin Koutis dan Timbalan Setiausaha Tetap KPLB Sabah Fredian Gan.-pr/BNN