Ewon sumbang RM10,000 kepada PVATM cawangan Kota Belud

0
65
Ewon bergambar bersama anggota PVATM Kota Belud pada majlis itu.
KOTA BELUD: Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Ewon Benedick menyampaikan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Cawangan Kota Belud.
Sumbangan itu bertujuan membantu persatuan melaksanakan pelbagai aktiviti dan program untuk manfaat ahli-ahli PVATM.
“Saya telah menyampaikan sumbangan peruntukan touchpoints menteri sebanyak RM10,000 sebagai geran tahunan kepada persatuan ini sepertimana komitmen saya pada tahun lepas.
“Sumbangan ini memang rendah kalau dibandingkan dengan jasa, pengorbanan dan sumbangan ahli-ahli semasa berkhidmat mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara, tapi inilah tanda sokongan dan penghargaan kami.
“Bagi pihak rakyat dan kerajaan, saya ucap terima kasih kepada semua anggota dan ahli veteran ATM kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-37 Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia Cawangan Kota Belud, di Dewan Komuniti Kampung Pompod, di sini.
Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian turut menyeru anggota PVATM merebut peluang dalam perniagaan termasuk perusahaan
Burung Walit dan Madu Kelulut untuk meningkatkan sumber pendapatan mereka.
“Kementerian boleh membantu mengembangkan perniagaan dari segi pemberian peralatan kepada para pengusaha yang telah memulakan perniagaan mereka,” katanya.-pr/BNN