Kerajaan Warisan perlu libatkan aktivis-ngo’s bersama tuntut hak-hak Sabah

0
59
Ir. Aziz Julkarnain

KOTA KINABALU: Kerajaan Warisan digesa agar melibatkan bersama aktivitis-aktivis terdahulu yang konsisten menuntut hak-hak negeri dalam usahanya mendapat semula hak-hak Sabah daripada Kerajaan Persekutuan.

Ketua Pemuda UMNO Sabah, Ir. Aziz Julkarnain berkata, penglibat mereka amat penting agar dapat menasihati kerajaan berkenaan pengembalian hak-hak negeri Sabah.

Sebagai contoh katanya, Jawatankuasa Teknikal Penurunan Kuasa (Devolution of Power Committee) yang terletak di bawah Kabinet Persekutuan BN dahulu telah mencapai peringkat akhir untuk dimuktamadkan.

Jawatankuasa tersebut telah dipengerusikan bersama-sama oleh wakil dari negeri-negeri Borneo iaitu Datuk Seri Panglima Anifah Aman (dari Sabah) dan Datuk Seri Hajah Nancy Haji Shukri(dari Sarawak).

“Saya menggesa Ketua Menteri Datuk Seri Shafie Apdal agar mencontohi kerajaan dahulu yang menjemput bersama aktivis-aktivis di luar kerajaan seperti pembangkang dan NGOs agar matlamat bersama oleh rakyat Sabah keseluruhannya tercapai.

“Saya percaya ianya masih belum terlambat untuk kita semua dan proses ini masih sedang berlangsung”, katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Aziz Julkarnain juga menggesa rakyat negeri ini, sama ada dalam blok Kerajaan mahupun blok pembangkang, sama ada pemimpin politik mahupun masyarakat non-partisan, agar membaca dokumen-dokumen berkaitan untuk memahami intipati sebenar hak-hak negeri  yang terambil oleh kerajaan Persekutuan agar dapat dikembalikan.

Antara dokumen-dokumen berkaitan ialah Perjanjian Malaysia 1963, Perlembagaan Persekutuan, Inter-government Committee (IGC), Malaysia Solidarity Consultative Committee (MSCC), The Cobbold Commission, Singapore Referendum, dan lain-lain.

“Adalah tanggungjawab kita bersama,  memahami intipati dokumen-dokumen tersebut.

“Jangan meletakkan perjuangan ini hanya di pundak dan bahu pemain-pemain politik. Bersama kita kuat, berpecah kita lemah”, tegas Aziz Julkarnain.-pr/BNN