Projek kecil luar bandar dilaksanakan tertakluk peruntukan tersedia: Ewon

0
425
Ewon menyampaikan sumbangan kepada Dr.Peter.

BELURAN: Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick melawat Kampung Sungai Manila, Libaran dan Kampung Sungai Memanjang, Beluran untuk meninjau dan mendapatkan gambaran lebih tepat berhubung aduan-aduan dan keperluan rakyat di kampung tersebut.

Dalam lawatan itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian turut meninjau projek kecil luar bandar yang siap Sungai Manila, iaitu naiktaraf ke jalan konkrit jalan menuju ke gereja St Petrus, Kg Sungai Manila.

“Pada tahun lepas, komuniti di kampung ini mengemukakan permohonan kepada saya bagi menaiktaraf jalan menuju ke rumah ibadat ini. Syukur, kita telah dapat membantu mendapatkan peruntukan sehingga jalan ini telah siap dinaiktaraf menjelang penghujung tahun lepas.

“Kita akan meneruskan projek kecil pembangunan luar bandar seperti ini tertakluk kepada peruntukan tersedia di Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah dan kementerian yang lain. Lebih banyak peruntukan yang disalurkan kepada kita, maka lebih banyaklah projek berimpak besar di kampung-kampung luar bandar sebegini yang kita dapat laksanakan,” katanya, selepas meninjau jalan konkrit menuju ke Gereja St.Petrus Libaran, pada Ahad.

Pada lawatan itu beliau menyampaikan sumbangan touchpoints sebanyak RM5,000 kepada Upko Libaran bagi tujuan membeli kelengkapan kanopi dan kerusi untuk keperluan komuniti kampung itu.

Selepas itu Ewon melawat Kampung Sungai Memanjang, Beluran dan berjumpa dengan beberapa penduduk berkenaan dan mendengar masalah tang dihadapi penduduk kampung termasuk berkaitan pemasangan meter bekalan air.

Turut sama dalam lawatan itu ialah Ketua UPKO Bahagian Libaran Dr Peter Naintin.

Pada sebelah pagi, beliau bersama-sama  dengan para pemimpin DAP dalam program bertemu rakyat dan memperkenalkan calon DAP Vivian Wong, di Pasar Umum dan Tamu Minggu Sandakan.-pr/BNN