Program keusahawanan desa KPLB harus mencakupi tamu-tamu tradisi kampung-Ewon

0
101
Ewon menyampaikan sumbangan kepada Mandai, untuk aktiviti gotong-royong mengindahkan konsep tamu dalam taman di Kg.Lompios.

KOTA BELUD: Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick mahu agar program pembangunan keusahawanan desa Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah mencakupi keperluan menaiktaraf tamu-tamu kampung.

Beliau berkata, ini kerana program keusahawanan desa sedia ada di kementeriannya hanya melibatkan pembangunan pusat-pusat keusahawanan desa serta gerai-gerai tamu keusahawanan di kawasan tamu utama pekan-pekan di beberapa daerah.

“KPLB Sabah sememangnya mempunyai program pembangunan keusahawanan desa dengan peruntukan tersedia sepertimana dalam Bajet tahunan.

“Oleh itu saya ingin melihat program ini ditambahbaik supaya tamu-tamu komuniti di kampung-kampung yang jauh daripada kawasan pekan juga boleh diberikan peruntukan untuk menaiktaraf kemudahan berkaitan terutamanya gerai-gerai tamu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Tamu Mingguan Kg Lompios yang terletak kira-kira 30 kilometer dari pekan Kota Belud.

Ewon yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian turut mengalu-alukan inisiatif komuniti kampung mewujudkan tamu mingguan di kawasan mukim atau kampung masing-masing kerana ia boleh merancakkan lagi ekonomi setempat.

“Pada masa yang sama, komuniti tidak lagi perlu ke pekan untuk keluar membeli bahan mentah atau keperluan lain kerana semuanya ada dijual di tamu kampung masing-masing.

“Dalam hal ini, saya percaya kerajaan melalui KPLB Sabah dapat membantu menaiktaraf pusat-pusat aktiviti ekonomi desa seperti ini,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Lompios kerana menjadikan konsep tamu dalam taman sebagai identiti tamu mereka yang turut diisi dengan pelbagai aktiviti seperti pertandingan mewarna, melukis, membaca, kursus-kursus kemahiran dan gotong-royong.

“Bukan mudah untuk memulakan tamu mingguan seperti ini dan memang satu cabaran untuk menjadikannya sebagai tamu yang kekal kerana ada juga tamu kampung yang terpaksa ditutup atas sebab-sebab tertentu.

“Bagaimanapun saya ingin melihat Tamu Mingguan Kg Lompios ini bukan hanya pusat aktiviti ekonomi tetapi juga pelbagai aktiviti lain yang boleh menyatu-padukan masyarakat di mukim ini,” katanya.

Ewon turut menyatakan komitmen beliau untuk terus mencari penyelesaian kepada keperluan pembangunan asas di kampung tersebut selain daripada jalan konkrit Kg Lompios yang telah siap pada hujung tahun lepas.

Dalam lawatan itu, Ewon turut menyampaikan peruntukan touchpoints ADUN Kadamaian sebanyak RM5,000 kepada MPKK Kg Lompios untuk aktiviti gotong-royong mengindahkan lagi konsep tamu dalam taman di kampung tersebut.

Sementara itu, Pengerusi MPKK Kg Lompios, Mandai Guasah merakamkan penghargaan kepada Ewon selaku Menteri KPLB dan ADUN Kadamaian kerana sentiasa konsisten memberi perhatian kepada kemajuan di Kg Lompios.

“Sebelum menjadi Wakil Rakyat, beliau telah memperkenalkan program ekonomi melalui tanaman lada hitam secara kelompok di kampung ini. Malah selepas menjadi ADUN, kampung kita bertuah kerana mendapat projek naiktaraf jalan konkrit melalui peruntukan beliau.

“Kami amat yakin, beliau juga akan terus menyokong dan membantu keperluan-keperluan pembangunan kampung kami yang lain termasuk di tamu mingguan ini,” katanya.

Mandai berkata, pengwujudan tamu mingguan tersebut dimulakan kerana kedudukan Kg Lompios dan kampung-kampung lain dalam Mukim Lasau terletak jauh dari pekan Kota Belud dan penduduk kampung merasakan ada keperluan mengujudkan pusat aktiviti ekonomi di mukim tersebut.

Selepas lawatan tersebut, Ewon juga meluangkan masa melawat beberapa projek siap dan sedang dilaksanakan di bawah peruntukan beliau seperti jalan konkrit, padang permainan, gelanggang sepak takraw dan rumah bina baharu PPRT di Kampung Lompios, Kg Podi, Kg Lasau Minunsud dan Kg Gonok.

Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Kadamaian Saikom Watis, Setiausaha Perhubungan KPLB Sabah Charles Dalansing dan Wakil Ketua Anak Negeri Mukim Lasau Somuil Rasat.-pr/BNN