Pesta Kaamatan Kota Belud di sambut meriah

0
65
Ewon disambut mesra pada majlis itu. Gambar oleh Joel Ewel.

KOTA BELUD: Lebih 5,000 orang menghadiri seterusnya memeriahkan sambutan Pesta Kaamatan Peringkat daerah Kota Belud di Dewan Tun Said, di sini, baru-baru ini.

Sambutan pesta kaamatan anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama KDCA Kota Belud itu disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick.

Ketika berucap pada majlis itu Ewon berkata, sambutan pesta Kaamatan atau program kebudayaan kaum lain adalah wadah untuk memantapkan perpaduan masyarakat berbilang bangsa dan agama di negeri ini.

“Pesta Kaamatan bukan sahaja disambut masyarakat Kadazandusun Murut tetapi juga dimeriahkan oleh pelbagai suku kaum lain diyakini mampu memantapkan perpaduan masyarakat yang menjadi tunjang kepada kemajuan dan keamanan negeri ini.

“Ini kerana Tadau Kaamatan memberi peluang kepada rakyat Sabah termasuk pelancong luar memahami, mengenali dan menghargai kebudayaan serta adat suku-suku kaum di Sabah.

“Oleh itu, marilah kita bersama-sama menghayati mesej penting disebalik tema perayaan Pesta Kaamatan tahun ini iaitu “Kaamatan Wadah Perpaduan Budaya Bangsa’,” katanya.

Ewon berkata, sambutan ini secara tradisinya adalah majlis kesyukuran ke atas tuaian padi oleh para petani, “tetapi dalam era hari ini, warga kita menuai kejayaan dan pencapaian dalam pelbagai bidang”.

“Pencapaian paling besar bagi warga kita adalah kemantapan perpaduan dan keharmonian antara kaum di Sabah sejak sekian lamanya. Ini yang kita harus tuai sepanjang masa, dan raikan dengan penuh keinsafan.

“Justeru, Kaamatan mengingatkan kita bukan hanya perjuangan, pengorbanan dan pencapaian masyarakat kita dimasa lalu, tetapi juga sebagai ikhtibar, motivasi dan cabaran pada masa kini dan akan datang,” katanya.

Beliau berharap agar sambutan ini terus mengukuhkan perpaduan keluarga besar masyarakat Sabah seterusnya mempertahankan warisan budaya dan tradisi Anak Negeri yang ikonik kepada Sabah.

“Semoga lebih banyak kejayaan dan pencapaian hasil tuaian kita pada tahun berikutnya. Mari menggembleng usaha bersama ke arah kejayaan dan pencapaian positif agar kita mempunyai sebab yang lebih nyata meraikan keramaian ini,” katanya.

Sempena sambutan itu, lebih 20 gerai pameran dan jualan pelbagai jabatan dan agensi termasuk Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah, Fama, Jabatan Pertanian, Persatuan Pengguna-Pengguna Sabah, Persatuan Pelancongan Kadamaian (KATA) dan Persatuan Kebudayaan Kadazandusun Sabah (KDCA).

Pesta Kaamatan itu dimeriahkan dengan pelbagai persembahan kebudyaan termasuk tarian tradisional daripada suku kaum Dusun Kota Belud dan etnik-etnik lain.

Acara kemuncak ialah pertandingan unduk ngadau yang disertai 15 peserta.

Turut hadir Pegawai Daerah Kota Belud Abdul Gari Itam, Ahli Majlis Tertinggi KDCA Sabah Charles Dalinsing, Pengerusi Penyelaras KDCA Kota Belud James Muyou, Ketua Daerah Kota Belud OKK Jaintin Molondoi, Setiausaha Politik Carlye Lajimin, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Saikom Watis, ahli-ahli Majlis Daerah, ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan serta pemimpin masyarakat.-pr/BNN