Kemenangan DAP-Vivian Wong bukti rakyat mahukan PH terus memerintah-Hajiji

0
359
Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor

KOTA KINABALU: Kemenangan calon DAP,  Vivian Wong Shir Yee dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan, membuktikan bahawa rakyat mahukan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Kerajaan Negeri pimpinan parti Warisan terus memerintah, kata Ketua Penyelaras Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Katanya,  BERSATU Sabah turut mengucapkan terima kasih kerana telah diberi kepercayaan oleh Jentera Pilihan Raya Parlimen Sandakan untuk turut membantu berkempen di dua Pusat Daerah Mengundi (PDM) dalam PRK kali ini.

“Kita juga berbangga kerana kawasan-kawasan PDM yang majoriti pengundinya Bumiputera Islam, yang dahulunya calon PH tewas, tetapi kali ini dimenangi oleh PH, seperti di Sim-Sim dan Pulau Berhala.

“Kemenangan ini juga sekaligus membuktikan bahawa pengaruh UMNO  telah merosot, sejak kemasukan  BERSATU ke Sabah, termasuk di Sandakan”, katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman berkata, Vivian Wong bukan sahaja berjaya membantu Kerajaan PH mengekalkan kerusi Parlimen Sandakan, malah memperoleh majoriti lebih besar iaitu 11, 521 undi.

“Bagi pihak BERSATU Sabah, saya mengucapkan tahniah kepada DAP dan Vivian Wong diatas kemenangan yang sungguh bermakna itu.

“Ini juga jelas bahawa pengundi di kawasan Parlimen Sandakan mahu Vivian meneruskan agenda dan perjuangan yang telah dibawa dan diwarisi oleh mendiang bapanya, Datuk Stephen Wong Tien Fatt

“Keputusan telah dibuat oleh para pengundi Parlimen Sandakan, maka ianya harus dihormati oleh semua pihak”, kata Hajiji.

Vivian Wong memperoleh 16,012 undi  menewakan calon Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Linda Tsen Thau Lin (4,491 undi) dalam pertandingan lima penjuru.

Tiga calon Bebas iaitu bekas pengasas Parti Amanah Negara (AMANAH) Sabah, Hamzah Abdullah mendapat 788 undi; bekas pegawai tadbir Pusat Khidmat Parlimen Sandakan, Sulaiman Abdul Samat (126 undi) dan ahli perniagaan, Chia Siew Yung (178 undi), sekali gus hilang wang pertaruhan.

Vivian Wong berjaya mempertahankan kerusi disandang sejak dua penggal lalu oleh bapanya, Datuk Stephen Wong Tien Fatt, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 28 Mac lalu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Tien Fatt yang juga Pengerusi DAP Sabah, menang dengan majoriti 10,098 undi selepas memperoleh 19,094 undi berbanding 8,996 undi diperoleh lawannya daripada Barisan Nasional (BN) yang diwakili calon LDP, Datuk Lim Ming Hoo.-pr/BNN