Peranan masjid satu padukan ummah- Matbali

0
61
Matbali bersalam dengan masyarakat Islam yang hadir.
Matbali menandatangani plak sebagai tanda merasmikan Masjid Al Ghaffar sambil diperhatikan oleh Sapawi (dua dari kanan) dan jemputan lain.

BEAUFORT: Masjid memainkan peranan yang penting dalam mendukung peranan institusi agama dalam konteks menyatupadukan ummah, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Encik Matbali Musah.

Katanya, sejarah perkembangan Islam mencatatkan bahawa masjid tidak hanya sebagai tempat beribadah semata-mata, sebaliknya dalam membina dan memacu kemasyarakatan dan negara.

“Sebab itu Rasulullah SAW menjadikan masjid sebagai pusat aktiviti masyarakat Islam pada suatu ketika dahulu”, katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Masjid Al Ghaffar, Kampung Luagan Sanginan, semalam.

Matbali ( tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan ramadan kepada pengerusi masjid di majlia itu.

Turut hadir di majlis itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klias, Datuk Isnin Haji Alisnih, mantan Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Haji Sapawi Haji Ahmad yang juga Ahli Majlis Tertinggi USIA dan pemimpin masyarakat setempat.

Matbali berharap Masjid Al Ghaffar digerakkan  lebih aktif bagi menjana kecemerlangan umat Islam.

“Adalah menjadi tanggungjawab umat Islam terutamanya Ahli Qariah untuk mengurus, pelbagaikan dan meningkatkan minda masyarakat serta melahirkan umat yang berilmu, bertakwa dan progresif bagi menjamin kejayaan di dunia dan di akhirat.

“Dalam hal ini, kita harus mencontohi semangat dan keperibadian Rasullulah SAW junjungan kita yang terbukti berjaya mengamalkan sikap ukhwah, silaturahim, hormat menghormati, berbaik sangka sesama ummah termasuk dengan masyarakat bukan Islam.

“Amalan ini perlu terus dipupuk dalam konteks masyarakat pelbagai kaum dan etnik khususnya di kawasan Kampung Luagan ini agar nikmat keamanan ummah  kemakmuran dan keharmonian yang dinikmati kini terus dipelihara.

“Sebarang anasir atau tindakan yang cuba melemahkan dan menjejaskan perpaduan rakyat berbilang kaum perlu dihindari”, tegasnya.

Matbali berharap institusi masjid khususnya ahli Qariah masjid dan pegawai agama, imam-imam, imam rawatib, pengerusi dan jawatankuasa masjid dan surau serta masyarakat keseluruhan di kawasan Lumadan, agar dapat merancang program-program dan aktiviti masjid yang melibatkan semua masyarakat Islam di kawasan itu.

Beliau juga berharap pengerusi dan jawatankuasa masjid dan surau dapat menganjurkan program pembangunan insan dari masa ke semasa, dengan kerjasama dan bantuan pelbagai agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti USIA, Yayasan Sabah, Jabatan Penerangan dan lain-lain.

Menurutnya, program-program keharmonian itu perlu melibatkan golongan belia bagi menarik mereka agar sentiasa mendekati masjid dan seterusnya melahirkan modal insan dan generasi pelapis kepimpinan negara yang berkualiti dan memiliki sahsiah yang terpuji.

Katanya, dewasa ini masalah sosial yang melibatkan golongan belia semakin meruncing dan merunsingkan masyarakat.

Matbali mengambil contoh penyalahgunaan dadah jenis syabu, ganja dan lain-lain akan melemah dan menghancurkan sesebuah institusi keluarga.

Beliau turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada mantan Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Haji Sapawi Haji Ahmad atas  jasa, sumbangan dan perjuangan beliau sehingga terbinanya beberapa buah masjid, surau, sekolah agama, dewan dan gelanggang futsal dalam kawasan DUN Lumadan.

“Kini tinggal beberapa buah masjid yang perlu kita perjuangkan di kawasan Lumadan khususnya Jalan Kampung Mentulud, Maraba, Pulai Manang dan lain-lain yang telah saya bangkitkan semasa Persidangan DUN Sabah”, tegasnya.

Selain merasmikan Masjid Al Ghaffar, Matbali turut menyampaikan sumbangan Ramadan kepada Pengerusi-Pengerusi Masjid dan Surau dalam kawasan DUN Lumadan serta berbuka puasa bersama-sama masyarakat setempat.-pr/BNN