Armada Sabah akan kerja keras menambat hati generasi muda

0
738
Syed Saddiq ( tujuh dari kanan) bersama sebahagian Ketua-Ketua Penaja Armada Bahagian BERSATU Sabah.
Mohd Isquzawan (kiri) menerima watikah perlantikan Ketua Penaja Armada Bahagian daripada Syed Saddiq sambil diperhatikan oleh Hajiji.

KOTA KINABALU:  Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah akan sentiasa bekerja keras untuk menambat hati generasi muda, kata Penyelaras Armada Negeri, Encik Mohd Isquzawan Israq Arsit

Katanya, dengan perlantikan Ketua-Ketua Penaja Armada Bahagian seluruh Sabah, akan membolehkan gerak kerja yang lebih efisyen disusun dan digerakkan bagi menarik penyertaan anak-anak muda.

“Armada merupakan salah satu platform yang menitikberatkan penglibatan anak muda dalam memberi sumbangan khususnya dalam menyampaikan idea, gerak kerja dan tenaga di peringkat akar umbi hinggalah ke organisasi tertinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Watikah Ketua-Ketua Penaja Armada Bahagian BERSATU Sabah di sebuah hotel di Kota Kinabalu, Sabtu lalu

Ketua ARMADA Malaysia merangkap Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Encik  Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah menyampaikan watikah perlantikan kepada 24 Ketua Penaja Armada BERSATU Sabah.

Turut hadir pada Ketua Penyelaras BERSATU Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dan Timbalannya, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun serta Timbalan ketua Armada Malaysia,  Encik Aizad Roslan.

Mohd Isquzawan yang juga Ketua  Penaja Armada Bahagian Putatan berkata, BERSATU dilihat sebagai sebuah parti segar yang sangat bertepatan dengan cita rasa orang muda.

Malahan katanya, Hajiji memberi ruang dan peluang yang luas kepada golongan muda untuk menyertai parti itu.

“Beliau juga memberi peluang dan peranan kepada golongan muda memegang jawatan yang penting sekaligus memberikan gambaran betapa inklusifnya BERSATU di negeri Sabah”, tegasnya.

Katanya, Ketua-Ketua Penaja Armada BERSATU Sabah terdiri daripada pelbagai latar belakang pendidikan, bidang pekerjaan, bangsa dan agama.

“Ketua-Ketua Penaja Armada Bahagian yang dilantik memegang tanggungjawab yang berat untuk memastikan sayap pemuda BERSATU dapat menambat hati generasi muda”, tambahnya.

Mohd Isquzawan Israq juga merakamkan ucapan terima kasih kepada Hajiji kerana memberi kepercayaan kepadanya dan pemimpin muda lain untuk menerajui Armada BERSATU di negeri Sabah.

Sempena majlis yang bersejarah itu, beliau bagi pihak Armada Sabah turut memaklumkan Syed Saddiq mengenai perlunya perhatian khusus diberikan kepada keperluan belia di negeri ini, terutamanya pembinaan kompleks sukan atau mini stadium di kawasan luar bandar dan pinggir bandar yang berpotensi melahirkan atlet hebat.

“Di samping, kami berharap adanya penyaluran dana kepada persatuan-persatuan belia secara tuntas dan efisyen bagi membantu program anak muda di negeri Sabah.

“Kami juga berharap pembangunan modal insan di kalangan belia di negeri ini dapat diangkat sebagai agenda utama di negeri Sabah”, tegasnya.-pr/BNN