KOTA KINABALU: Shafie Apdal perlu menjaga kredibiliti beliau sebagai seorang Ketua Menteri.
Ghazalie Ansing, Pengarah Komunikasi UMNO Sabah mempersoalkan pendirian “Sabah Kita Punya” yang digagaskan dalam perjuangan politik Parti Warisan Sabah (Warisan)
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan akhbar berhubung isu Adun Dilantik iaitu Loh Ee Eng yang merupakan anak jati Pulau Pinang
“Adakah anak jati Sabah tidak layak mentadbir dan menjaga tanah kelahiran mereka sendiri? Perlantikan ini amat tidak sewajarnya dilakukan oleh seorang Ketua Menteri, yang mana di dalam sejarah politik negeri Sabah, tidak pernah seorang Ketua Menteri melantik ADUN dari luar Sabah,” tegas beliau.
“Dimanakah beliau (Shafie Apdal) memposisikan pendirian dan prinsip “Sabah for Sabahan”? Adakah “Sabah Kita Punya”? Ataupun “Sabah Shafie Punya?” Bagi saya, Shafie Apdal seorang individu yang tidak berprinsip dan hanya mengamalkan pegangan “Aim to Justify the Way” (Matlamat Menghalalkan Cara). Adakah Shafie sendiri telah tunduk pada tekanan dan telunjuk DAP?” soalnya.
Menurut beliau, dahulu, Parti Warisan Sabah (Warisan) mengkhianati laungan “Sabah for Sabahan” dengan membentuk gabungan dengan Pakatan Harapan (PH) semata-mata ingin menjadi Ketua Menteri Sabah.
Kini, Shafie Apdal menjadi ‘kuda tunggangan DAP’ untuk melantik anak jati Pulau Pinang sebagai Adun di Sabah. Shafie Apdal perlu berhenti mengamalkan “the politics of stupid” atau beliau sewajarnya digantikan oleh Darrel Leiking atau Jaujan Sambakong sebagai Ketua Menteri, katanya.
“Ianya lebih relevan jika Shafie Apdal digantikan oleh individu yang lebih menjaga dan mengutamakan anak jati Sabah berbanding orang luar. Darrel Leiking dan Jaujan Sambakong perlu bersuara dan menegur Shafie Apdal demi masa depan anak jati Sabah.”
“Soalan saya mudah, “Sabah Kita Punya” atau “Sabah Shafie Punya”? Sama-sama kita fikirkan. Maka, sebaiknya kita ubah kerajaan hari ini demi masa depan anak jati Sabah.”-pr/BNN