Mantan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Negeri berkata, “Neighbourhood Watch” membabitkan penglibatan masyarakat itu sendiri dalam membantu membendung dan menghalang dari berlakunya kejadian jenayah di kawan-kawasan perumahan dan kampung-kampung.
Katanya, “Neighbourhood Watch” (NW) merupakan satu mekanisme yang akan mendorong dan merangsang masyarakat untuk turut sama memainkan peranan dalam mencegah jenayah.
“NW dapat mendidik dan memberi kesedaran kepada masyarakat berkaitan peranan yang boleh dimainkan oleh mereka serta langkah-langkah pencegahan yang boleh diimplementasi dalam usaha mengekang kes jenayah dari berlaku”, katanya.
Jainab yang juga Ketua Pergerakan Wanita UMNO Sabah mengulas kebimbangan masyarakat negeri ini berhubung kejadian kes-kes jenayah yang semakin menjadi-jadi, yang dilaporkan oleh pihak media massa dan media sosial.
Katanya, usaha menangani kes-kes jenayah itu seharusnya tidak diserahkan bulat-bulat dan sepenuhnya kepada pihak keselamatan khususnya polis semata-mata.
“Sebaliknya usaha, pencegahan jenayah memerlukan kolaborasi dan kerjasama di antara masyarakat itu sendiri dan pihak Polis.
“Keselamatan kita dan keluarga, juga adalah tanggungjawab kita bersama, bukan sahaja semasa musim perayaan, tetapi setiap masa”, tegasnya.
Jainab berkata, NW juga merupakan platform terbaik membantu mengeratkan lagi hubungan silatulrahim diantara komuniti dan kejiranan dalam sesebuah taman perumahan dan juga di kampung, yang kini semakin rapuh.
Menurutnya, dewasa ini kebanyakan masyarakat khususnya dalam kawasan taman perumahan, tidak mengenali jiran tetangga mereka.
“Sepatutnya jiran kita, kawan kita. Bagai aur dengan tebing yang saling memerlukan diantara satu sama lain, demi kehidupan yang lebih sejahtera dan aman”, tambahnya.
Jainab yang juga Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Bukit Sepanggar berkata, pihaknya akan mewujudkan NW dengan kerjasama dan sokongan daripada Skim Rondaan Sukarela (SRS) dari Kampung berdekatan, pihak polis dan pengawal keselamatan taman.
Katanya, signifikasi kepada NW ialah memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa mereka juga mempunyai peranan dan tanggungjawab dalam mencegah jenayah terutama di kawasan tempat tinggal, selain menyemai semangat kejiranan yang utuh.
Menurutnya, NW yang berkonsepkan ‘Pengawasan Kejiranan’, di mana masyarakat bertindak sebagai ’mata dan telinga’ kepada pihak Polis dalam mengawasi serta melaporkan sebarang insiden seperti kejadian jenayah curi, rompak, dadah, merosakkan harta benda dan lain-lain yang melibatkan keselamatan jiran mereka.
“Sekiranya kita mahu hidup dalam keadaan selamat dan tenteraman, maka kita perlu bersama-sama bertindak mengawasi keselamatan kejiranan di sesebuah kawasan tersebut”, tegasnya.
Jainab optimis, dengan adanya kerjasama padu yang diberikan oleh para penghuni sesebuah taman perumahan dan juga kampung, selain NW, jawatankuasa persatuan penduduk taman atau pertubuhan sukarela juga boleh mengadakan rondaan bersama pihak keselamatan seperti Rela, polis bantuan, pengawal keselamatan taman dan lain-lain.
Beliau berkata, jika ini dapat dilakukan sudah tentu penghuni sesebuah perumahan atau kampung akan berasa lebih lega, aman dan tenteram, sementara penjenayah pula akan berfikir dua kali untuk melakukan jenayah di kawasan yang mempunyai NW dan pasukan roandaan sukarela.
Jainab turut mengingatkan masyarakat Islam yang akan balik bercuti di kampung sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri agar memaklumkan jiran tetangga atau pihak polis berdekatan agar rondaan dapat dilakukan oleh mereka.
“Pastikan tingkap dan pintu rumah dikunci selain semua suis eletrik ditutup, bagi mengelakkan berlakunya kecurian dan kebakaran.
“Bagi mereka yang memandu balik kampung agar memandu dengan cermat dan mengutamakan keselamatan di jalan raya. Ingatlah orang tersayang”, nasihatnya.
Beliau juga mengingatkan ibu bapa agar sentiasa mengawasi anak-anak agar tidak bermain bunga api secara bahaya sehingga menyebabkan kemalangan.
Sementara itu, Jainab turut bersimpati dengan tragidi kebakaran yang menimpa sembilan sekeluarga di Kota Bahru semasa sedang berbuka puasa, malam tadi.
Mereka lari bertempiaran menyelamatkan diri sebaik menyedari rumah sewa didiami mereka terbakar dalam kejadian di Kampung Pengkalan Nangka, Pengkalan Chepa.-pr/BNN