Kerajaan Sabah digesa naikkan gaji imam

0
Haji Abdul Hakim Gulam Hassan

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah digesa menaikkan elaun imam selaras dengan tugas dan tanggungjawab yang dipikul oleh golongan tersebut.

Ketua Bersatu Bahagian Silam, Abdul Hakim Gulam Hassan (gambar) berkata, kadar elaun yang diterima sekarang tidak lagi bersesuian termasuk kos sara hidup hari ini yang semakin meningkat.

“Saya berpendapat kerajaan Sabah hari ini wajar mengkaji semula kadar gaji yang diterima oleh imam-imam di masjid memandangkan tugas yang mereka pikul pada zaman ini semakin berat dan penting.

“Dalam suasana urusan masyarakat Islam yang semakin kompleks hari ini kita memerlukan imam yang bukan sekadar memimpin solat tetapi juga dalam pelbagai hal ehwal muamalat yang lain.

“Begitu juga dengan kos hidup yang semakin meningkat menyebabkan mereka ini perlu diberikan elaun yang setimpal bagi membolehkan mereka melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan baik,” katanya.

Menyentuh perkara berkaitan, beliau juga mendesak kerajaan negeri membayar gaji guru-guru sekolah agama supaya mereka tidak lagi perlu bergantung kepada bayaran daripada ibu bapa.

Katanya, keadaan itu menyebabkan ada sebilangan sekolah agama beroperasi dalam keadaan daif dengan gaji guru-guru begitu kecil sekali gus meletakkan mereka dalam kategori miskin.

“Memandangkan peranan sekolah agama juga menyumbang kepada pembentukan generasi muda celik agama serta melahirkan masyarakat berakhlak dan bermoral, tiba masanya kerajaan negeri mengambil alih tanggungjawab membayar gaji sekolah-sekolah agama ini.

“Saya percaya sistem pendidikan sekolah agama amat penting dalam melahirkan masyarakat yang seimbang dari segi sahsiah dan jati diri menyebabkan kerajaan negeri perlu membantu memperkasakan lagi peranan sekolah-sekolah ini khususnya dalam aspek gaji dan pengurusan,” katanya.

Tambah beliau, sebilangan besar sekolah agama hari ini masih dalam keadaan daif termasuk prasarana dan kelengkapan seperti kerusi dan meja.

Katanya, kekurangan itu menyebabkan suasana pengajaran dan pembelajaran menjadi tidak kondusif. Malah ada yang tidak mempunyai kelengkapan sistem elektrik dan bekalan air yang sempurna.-pr/BNN