BONGAWAN: Malaysia masih menghadapi masalah kejadian kemalangan semasa bekerja termasuklah kemalangan jalan raya yang melibatkan pekerja negara ini, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Encik Matbali Musah.
Katanya, masalah itu telah memberi kesan yang pelbagai dan implikasi dari aspek sosio ekonomi.
“Kehilangan nyawa manusia dan kecacatan merupakan kehilangan yang besar dalam perolehan sumber tenaga manusia, disamping kerosakan harta benda serta menjejaskan kebahagian keluarga.”
“Salah satu faktor utama yang dapat dikesan dalam menyebabkan berlakunya kemalangan ialah faktor manusia itu sendiri dan suasana persekitaran yang tidak mesra keselamatan”, katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Seranta 2019 (Ceramah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso)) anjuran Pejabat Perkeso Beaufort di Borneo Golf Resort & Country Club Bongawan, hari ini.
Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Perkeso Negeri, Cik Salwati Abdul Karim, Ketua Cawangan Sistem Insurans Pekerjaan Negeri Sabah, Puan Ainah Binti Awang dan Pengurus Pejabat Perkeso Beaufort, Haji Ag Jaafar Ampuan Tuah.
Matbali berkata, kemalangan adalah sesuatu yang kompleks dan berlaku tanpa dirancang, namun ia boleh dicegah.
Menurutnya, kemalangan boleh diakibatkan dua sebab utama iaitu “tindakan yang tidak selamat (unsafe act)” dan “keadaan kerja tidak selamat” (unsafe condition).
Beliau percaya pokok pangkal permasalahan kemalangan sebenarnya datang dari kita sendiri.
“Kita semua perlu sentiasa mengutamakan isu-isu keselamatan dari semua aspek mekanikal, fizikal serta komited dan mengelak daripada berlaku kemalangan di tempat kerja”, tegasnya.
Matbali berkata, Kerajaan yang amat prihatin terhadap nasib dan masa pekerja di negara ini telah menubuhkan Perkeso yang berperanan memberi perlindungan terhadap beberapa kejadian luar jangka seperti bencana pekerjaan termasuk kemalangan semasa perjalanan, keilatan dan kematian.
Justeru katanya, Program Seranta Perkeso itu adalah menjurus kepada penekanan kepentingan kesedaran kepada pekerja-pekerja.
Menurutnya, program itu juga melibatkan semua peringkat umur termasuk generasi muda memandangkan generasi ini berpotensi menjadi agen perubahan kepada alam pekerjaan pada masa hadapan.
Katanya, Program Seranta itu juga adalah wadah dalam mempromosikan peranan Perkeso dalam semua aspek, termasuklah kesedaran keselamatan di tempat kerja berkenaan pencegahan kemalangan, kecederaan atau penyakit dikalangan pekerja yang terlibat, hatta penduduk kampung dan masyarakat setempat.
“Pengisian program ini adalah menerapkan kesedaran apa yang kita boleh dapat dari Perkeso dan perana majikan serta pekerja”, tegasnya.-pr/BNN