KOTA KINABALU:Respond Menteri Pembangunan Infrastruktir Sabah, Datuk Peter Anthony, berhubung ketiadaan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah dalam Majlis Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah semalam, menimbulkan persoalan.
Peter yang juga merupakan Pengerusi Penganjur menyatakan bahawa urusetia telah menghantar surat jemputan kepada para ADUN Bersatu Sabah.
Namun, semakan Borneonews kepada beberapa orang ADUN Bersatu mendapati mereka tidak menerima sebarang jemputan untuk menghadiri majlis berkenaan.
Persoalan yang timbul adalah adakah Peter sendiri tidak mendapat maklumat yang tepat daripada pihak urusetia, ataupun ada pihak dalaman yang sengaja ingin sabotaj, ataupun mungkin ada pihak dalam Kerajaan Negeri Sabah yang sehingga kini masih tidak senang dengan kewujudan parti Bersatu di Sabah, sungguhpun parti tersebut adalah parti pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri.
Ini adalah kerana bukan sahaja Sambutan Hari Kebangsaan tersebut, namun sebahagian besar majlis rasmi Kerajaan Negeri masih tidak menjemput para pemimpin Bersatu Sabah dengan kaedah yang teratur.
Menurut sumber Bersatu Sabah, dalam satu majlis berbuka puasa anjuran Kerajaan Negeri yang melibatkan kehadiran Dr. Mahathir sendiri, penganjur tidak menjemput para pemimpin Bersatu secara rasmi sehinggalah saat akhir jemputan dibuat hanya melalui aplikasi whatsapp melalui pihak ketiga, hanya setelah wakil Bersatu membuat semakan sama ada para pemimpin Bersatu dijemput dalam majlis tersebut.
Sumber Bersatu juga menyatakan, bukan sekadar Sambutan Hari Kebangsaan tersebut, malah majlis rasmi pada malam hari yang sama, yang juga melibatkan kehadirian Tuan Yang Terutama (TYT) iaitu Sambutan Maal Hijrah 1441H, para ADUN, Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Negara daripada Bersatu tidak mendapat sebarang jemputan.
Sumber tersebut juga menyatakan kekesalan pihak Bersatu Sabah terhadap pihak yang cuba menimbulkan isu berhubung ketiadaan para ADUN mereka dalam sambutan tersebut, sedangkan hakikat sebenarnya mereka tidak menerima jemputan atau memang tidak dijemput.-pr/BNN