Isu Telemovie Berian Sampai Mati TERIMA KASIH KEPADA RTM KERANA DENGAR BANTAHAN KAUM MURUT-RUBIN

0
5584
Datuk Rubin Balang

KOTA KINABALU: Persatuan Murut Sabah (PMS) menggesa pihak-pihak yang ingin menerbitkan sebarang telemovie atau documentary mengenai kaum Murut negeri ini agar merujuk dengan ketua-ketua adat suku kaum itu terlebih dahulu.

Presidennya Datuk Rubin Balang berkata, ini penting agar telemovie atau documentary yang dihasilkan tidak bertentangan dengan adat istiadat yang diamalkan oleh masyarakat Murut di Sabah.

“Mereka juga boleh merujuk atau mendapatkan khidmat nasihat daripada PMS atau  Persatuan-Persatuan Murut lain yang berkenaan,  agar sebarang penerbitan yang dihasilkan tidak menyebabkan kemarahan masyarakat Murut”, katanya dalam satu kenyataan,hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas bantahan tayangan “Telemovie Berian Sampai Mati” yang akan disiarkan di saluran TV OKEY( Astro 109) pada 21 September 2019.

Masyarakat Murut membantah penyiaran telemovie Berian Sampai Mati.

Pelbagai pihak khususnya masyarakat Murut negeri ini telah menyuarakan bantahan di media sosial mengenai tayangan telemovie  itu yang tidak menggambarkan adat suku kaum itu yang sebenarnya.

Rubin yang juga mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong berkata, penerbit telemovie itu perlu menghormati adat istiadat suku kaum Murut negeri ini, dan berharap perkara itu tidak akan berulang di masa akan datang.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak yang berminat menerbitkan telemovie adat Murut. Bagaimanapun mereka hendaklah mengetahui adat istiadat kaum Murut dengan merujuk kepada ketua-ketua adat kaum Murut terlebih dahulu untuk mendapatkan fakta sebenar.

“Pihak saya juga sedia membantu memberikan fakta sebenar adat istiadat kaum Murut kepada mana-mana pihak yang memerlukan”, tegasnya.

Rubin berkata, pihaknya telah berhubung dengan pihak Jabatan Penyiaran Malaysia (Radio Televisyen Malaysia), dan RTM telah bersetuju menangguhkan penyiarkan telemovie Berian Sampai Mati.”

“Saya mengucapkan terima kasih diatas keprihatinan  pihak RTM kerana menerima pandangan PMS dan mendengar bantahan-bantahan daripada kaum Murut dalam kes ini”, tegasnya.

Rubin menegaskan,  sebenarnya tiada adat berian sampai mati dalam bangsa Murut. Justeru ianya perlu difahami oleh rakyat negara ini khususnya para penerbit telemovie dan documentary.

TV Okey ialah sebuah stesen televisyen kendalian (RTM) yang ditujukan khas kepada penduduk Sabah, Sarawak dan golongan muda. Ia bersiaran melalui saluran Astro 109 dan bersiaran melalui siaran myFreeview.-pr/BNN