LPP dan MOA wajar tarik balik pewartaan peraturan PP (pindaan) 2019 bukan terus berdegil

0
446

KEDAH: Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) wajar menarik balik Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang (Pindaan) 2019 yang mendapat bantahan pewartaannya oleh Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) dan bukan terus berdegil, kata Pengerusi PPN Kedah, Datuk Abdul Lateh Mohd Saman (gambar).

Katanya, LPP terutama Pengerusinya, Dato Mazlan Aliman sepatutnya sedar dan maklum pewartaan itu mendapat bantahan keras oleh PPN Negeri dan PP Kawasan melalui Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) yang diadakan.

Beliau berkata, bekas Menteri Persekutuan, Tan Sri Dr.Rais Yatim juga telah memberi pandangan dan nasihat berhubung pewartaan peraturan itu yang telah menjejaskan keharmonian diantara ahli-ahli peladang dan LPP.

“Pewartaan Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang (Pindaan) 2019 lebih bersifat politik kerana jumlah Ahli Jemaah Pengarah (AJP) yang akan dilantik oleh Menteri melebihi jumlah yang dipilih oleh ahli-ahli peladang sama ada di peringkat PPN atau Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).

“Sedangkan PPK, PPN dan NAFAS adalah milik ahli-ahli peladang selaku pemegang saham, sementara Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) dan LPP bukan pemegang saham dalam PPK, PPN atau NAFAS.

“Justeru Menteri MOA dan Mazlan sepatutnya tidak terus berdegil setelah suara bantahan semakin kuat oleh ahli-ahli peladang dan terus menular ke seluruh pelusuk negara.

“Sebaliknya mereka patut menarik balik pewartaan peraturan itu yang dibuat untuk kepentingan politik mereka iaitu kuasa Menteri bagi melantik ahli-ahli Parti AMANAH Negara sebagai AJP di peringkat PPK, PPN dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas)”, tegasnya.

Menteri Pertanian, Dato’ Haji Salahuddin Ayub adalah Timbalan Presiden Parti Amanah, sementara Mazlan merupakan Ahli Majlis Tertinggi (AMT) parti itu.

Abdul Lateh berkata, tindakan MOA dan LPP yang berdegih dan enggan mendengar bantahan ahli-ahli peladang terhadap pewartaan itu akan menyebabkan kemarahan ahli-ahli PP termasuk di negeri Johor.

“Sekiranyan kemarahan ahli-ahli peladang diterjemahkan dalam bentuk undi protes semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Johor, maka itulah sumbangan besar Salahuddin dan Mazlan serta Parti Amanah kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad”.

“Justeru isu pewartaan ini jika tidak ditangani dengan bijak, ia akan menjadi isu politik dalam PRK Parlimen Tanjung Piai”, tegasnya.

Sementara itu, Abdul Lateh turut mempersoalkan mengapa LPP tidak menanggung perbelanjaan MAT PPN.-pr/BNN