TANJUNG PIAI, JOHOR: Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Sabah hari ini meminta campur tangan Perdana Menteri (PM), Tun Dr.Mahathir Mohamad berhubung pewartaan Peraturan-peraturan Pertubuhan Peladang (Pindaan) 2019 oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.
Ahli Jemaah Pengarah (AJP) PPN Sabah, Datuk Ng Loi Tect (pic) berkata, pewartaan peraturan itu jelas dibuat hanya untuk kepentingan politik parti Amanah.
“Peraturan-Peraturan PP (Pindaan) 2019 tidak menguntungkan ahli-ahli peladang selaku pemegang saham dalam Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), PPN dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas)”.
“Kami meminta campur tangan PM selaku pemimpin nombor satu negara agar membatalkan pelaksaannya kerana peraturan tersebut bersifat berat sebelah dan menafikan hak ahli-ahli peladang dalam memilih pemimpin mereka dalam Mesyuarat Agung PPN atau NAFAS. katanya dalam satu kenyataan hari ini.
*Ng juga khuatir isu ini dijadikan bahan kempen oleh parti pembangkang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai yang akan menjejaskan PH khususnya Bersatu (PPBM) untuk memenangi kawasan tersebut, berikutan kemarahan ahli-ahli peladang di atas tindakan Salahudin dan Mazlan.
Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang (Pindaan) 2019 telah diwartakan pada 22 April dan berkuat kuasa 1 Mei lalu.
Dalam pindaan itu dinyatakan bahawa lantikan oleh pihak menteri terutama di PPN dan Nafas melebihi jumlah yang dilantik atau dipilih dalam Mesyuarat Agong Pertubuhan Peladang.
*Ng yang menghadiri Mesyuarat Agung PPN Johor dan sempat meninjau persiapan PH dalam menghadapi PRK Tanjung Piai berkata, alasan pewartaan itu untuk mereformasikan kepemimpinan PP meliputi tiga peringkat iaitu PPK, (PPN) dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) adalah tidak berasas dan hanya untuk mengaburi mata umum.
” Yang nyata pindaan itu hanya bermotifkan politik iaitu untuk memberi kuasa kepada Menteri Pertanian dan Asas Tani (MOA) Datuk Salahuddin Ayub untuk melantik orang-orangnya dari parti Amanah yang beliau terajui untuk mengisi jawatan Ahli Jemaah Pengarah (AJP) di PPK, PPN dan Nafas.
” Justeru pindaan dan pewartaan berkenaan tidak harus digunapakai dan wajar ditunda dan dibatalkan. Kami menggesa PM membantu dan campur tangan demi masa depan pertubuhan peladang”, tegas yang juga Pengerusi PPK Pitas.
Akhbar sebelum ini melaporkan, menerusi Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 22 April 2019, Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang (Pindaan) 2019 menetapkan komposisi AJP PPK mestilah terdiri daripada tujuh anggota yang dalam mesyuarat agung tahunan dan lima anggota lagi dilantik oleh menteri, seorang daripadanya hendaklah Peladang Muda dan seorang lagi Peladang Nita.
Warta berkenaan telah dibuat pada 19 April 2019 oleh Pengerusi LPP, Datuk Mazlan Aliman dan diluluskan pada tarikh yang sama oleh Salahuddin serta dikuatkuasakan pada 1 Mei lepas.-pr/BNN