Belanjawan 2020 untuk kesejahteraan Dan kemakmuran rakyat- Armada Sabah

0
659
Mohd Isquzawan Israq Arsit

KOTA KINABALU: Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) negeri Sabah menyambut baik Belanjawan 2020, dan menyifatkannya sebagai belanjawan untuk kesejahteraan dan kemakmuran rakyat.

Ketuanya Encik Mohd Isquzawan Israq Arsit (gambar) yakin, Belanjawan 2020 yang bertemakan “memacu pertumbuhan dan keberhasilan saksama ke arah kemakmuran bersama” akan mencapai matlamat yang dihasratkan oleh Kerajaan.

“Armada Bersatu Sabah menyambut baik pembentangan Belanjawan 2020, iaitu belanjawan kedua dibawah Kerajaan Pakatan Harapan (PH). Kita yakin Kerajaan Persekutuan dapat mencapai 4 teras yang menunjangi belanjawan tersebut”.

“Ini merupakan belanjawan untuk kesejahteraan dan kemakmuran rakyat selaras dengan Wawasan Kemakmuran Negara 2030 yang dicetuskan oleh Kerajaan PH.”

“Armada Sabah berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana Belanjawan 2020 turut memberi fokus kepada pembangunan di Sabah khususnya di kawasan luar bandar yang masih ketinggalan”, katanya ketika mengulas Belanjawan 2020 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Encik Lim Guan Eng di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Encik Mohd Isquzawan mengalu-alukan komitmen Kerajaan PH mengutamakan keperluan Sabah dan Sarawak, dengan geran kewangan sebanyak RM5.2 bilion untuk Perbelanjaan Pembangunan di Sabah bagi tahun 2020.

“Kita juga amat mengalu-alukan cadangan Kerajaan PH untuk menggandakan geran kewangan kepada Sabah dan Sarawak seperti mana yang diperuntukkan di bawah Perjanjian Malaysia 1963, dengan Sabah akan menerima kadar Pemberian Khas tahunan sebanyak RM53.4 juta.

Encik Mohd Isquzawan yakin menerusi peruntukan beratus juta ringgit untuk meningkatkan kemudahan dan infrastruktur di Sabah khususnya untuk kawasan luar bandar, akan membantu merancakkan pertumbuhan dan pembangunan negeri Sabah.

Katanya, dengan peruntukan sebanyak RM470 juta untuk Projek Bekalan Air Luar Bandar di Sabah dan Sarawak dapat merapatkan jurang antara bandar dan luar bandar di kedua-dua negeri itu.

“Armada Sabah juga mengalu-alukan komitmen Kerajaan yang akan membelanjakan RM500 juta untuk Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar yang akan memberi manfaat kepada lebih 30 ribu isi rumah luar bandar di mana majoriti penerima faedah tinggal di Sabah dan Sarawak.

“Disamping itu RM326 juta untuk membina jalan luar bandar di Sabah yang akan memberi faedah kepada ribuan penduduk”, tegasnya.

Menurutnya, Kerajaan Persekutuan turut memberi perhatian yang serius terhadap pembangunan golongan muda dalam Belanjawan 2020.

Katanya usaha dan komitmen Kerajaan diterjemahkan dengan mencipta 350,000 peluang pekerjaan menerusi peruntukan khas berjumlah RM6.5 bilion yang majoritinya bakal dimanfaatkan anak muda.

Encik Mohd Isquzawan berkata, Armada Sabah juga menyambut baik komitmen kerajaan dalam pembangunan modal insan dengan mengarus perdana Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), dengan peruntukan sebanyak RM5.9 bilion disediakan pada 2020.

Katanya, keperluan generasi muda lain yang diberi perhatian oleh Kerajaan ialah membantu belia untuk memiliki rumah pertama.

“Keprihatinan kerajaan melanjutkan Skim Perumahan Belia yang dikendalikan oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) mulai 1 Januari 2020 sehingga 31 Disember 2021 amat dialu-alukan oleh golongan muda”, tegasnya.

Skim itu juga menawarkan jaminan pinjaman sebanyak 10 peratus melalui Cagamas untuk membolehkan peminjam mendapatkan pembiayaan penuh dan bantuan ansuran bulanan sebanyak RM200 sebulan untuk 2 dua tahun pertama terhad kepada 10 ribu unit rumah.

Katanya, Kerajaan juga menyediakan peruntukan yang besar untuk sukan iaitu RM299 juta untuk pelaksanan Program Sukan Untuk Semua, termasuk memulih dan menaik taraf kemudahan sukan, termasuk Kompleks Belia dan Sukan dan Kompleks Sukan Komuniti seluruh negara.

“RM179 juta untuk persiapan kejohanan antarabangsa seperti Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan Sukan SEA Hanoi 2021 serta pembangunan atlet paralimpik; dan RM45 juta diperuntukkan untuk Program Pembangunan Bola Sepak Negara berbanding dengan RM15 juta pada Belanjawan 2019”, jelas Mohd Isquzawan.-pr/BNN