PPK Kinabalu sambut baik belanjawan 2020

0
586
Datuk Haji Jaimin Samitah

RANAU: Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kinabalu menyambut baik Belanjawan 2020 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Encik Lim Guan Eng pada Jumaat.

Pengerusinya, Datuk Haji Jaimin Samitah (gambar) berkata Belanjawan 2020 menyaksikan peruntukan yang agak besar diberikan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia.

“PPK Kinabalu mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan kerana menyalurkan peruntukan yang besar bagi membantu sektor pertanian.

“Dengan peruntukan itu, sudah pasti ahli-ahli peladang di Sabah amnya dan Kinabalu khasnya akan turut menerima faedahnya”, katanya ketika mengulas Belanjawan 2020.

Dalam Belanjawan 2020, Kerajaan telah meningkatkan peruntukan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani daripada RM4.4 bilion untuk 2019 kepada RM4.9 billion untuk 2020, dengan memberi fokus khusus kepada meningkatkan pendapatan bagi pengusaha pertanian.

Jaimin yang juga Ahli Jemaah Pengarah (AJP) Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Sabah berkata, pemberian peruntukan dan fokus meningkatkan pendapatan pengusaha pertanian amat dinanti-nantikan oleh ahli-ahli peladang di Sabah.

“Kita juga mengalu-alukan usaha kerajaan meningkatkan peruntukan input padi sebanyak RM855 juta bagi tahun 2020 berbanding RM796 juta pada 2019 di bawah Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP) dan Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP).

“Di samping itu, Kerajaan juga akan meneruskan subsidi padi bukit atau padi huma. Ini merupakan usaha positif kerajaan bagi meningkatkan hasil padi”, tegasnya.

Jaimin berkata, keputusan Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM43 juta ke arah pembangunan Industri Pertanian 4.0 bagi membangunkan baka yang berkualiti dan berproduktiviti tinggi, juga amat dialu-alukan oleh ahli-ahli peladang.-pr/BNN