Sabah untuk Malaysia, Malaysia untuk Sabah- Hajiji

0
Hajiji (tiga dari kiri) merasmikan Pejabat Perhubungan ADUN Lumadan dan Pejabat Bersatu Bahagian Sipitang sambil diperhatikan oleh Masidi (enam dari kiri), Azizah (kiri), Arifin (dua dari kiri), Matbali (empat dari kiri), Yamani Hafez (tiga dari kanan) dan Isnin (kanan).

SIPITANG: Rakyat Sabah perlu berfikiran lebih besar dan *berpandangan jauh ke hadapan* dengan bertunjangkan “Sabah untuk Malaysia”, kata Ketua Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Hajiji menerima borang keahlian Bersatu DUN Sindumin daripada Shem Balang sambil diperhatikan oleh pemimpin Bersatu.

Katanya, Sabah memerlukan hubungan yang baik dan akrab dengan Kerajaan Persekutuan demi kemajuan dan kemakmuran masa depan negeri ini.

“Hanya dengan adanya hubungan dan kerjasama yang erat diantara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan, Sabah akan menikmati pembangunan yang berterusan.

“Slogan kenegerian yang dilaungkan
oleh parti tertentu hanya retorik politik bagi memancing sokongan rakyat.

“Rakyat Sabah mahukan kemakmuran dan pembangunan yang berterusan di negeri ini disamping keamanan, keselamatan, perpaduan dan keharmonian yang dibawa oleh Kerajaan.

“Ini hanya dapat dicapai dengan adanya hubungan yang erat dan akrab diantara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

“Bersatu Sabah juga berpendirian dan menyokong usaha mempertahankan dan mendapatkan hak-hak dan kepentingan negeri Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)”.

“Sebagai rakyat dan warganegara Malaysia yang berasal dari Sabah, kita mempunyai tanggungjawab kepada negara, sebab itu kita perlu mempunyai pemikiran “Sabah Untuk Malaysia”, ini penting agar kita dapat terus maju dan bersaing dalam arena global dan dunia”, katanya.

Hajiji berkata demikian pada Majlis Jelajah Pimpinan Bersatu Sabah ke Bahagian P.178 Sipitang di perkarangan Pejabat Perhubungan DUN N.17 Lumadan di Kampung Lumatai pada Sabtu.

Turut hadir di majlis itu ialah Timbalan Ketua Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, Bendahari Bersatu Sabah, Datuk Haji Mohd.Arifin Haji Mohd.Arif, Ketua Srikandi Bersatu Sabah, Datuk Hajah Azizah Mohd.Dun, Pengarah Strategi Bersatu Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin, Ketua Bersatu Bahagian Sipitang, Encik Matbali Musah dan Timbalannya, Encik Yamani Hafez Musa yang juga Ahli Parlimen Sipitang dan Ketua-Ketua Bahagian Bersatu.

Hajiji yang juga ADUN Sulaman berkata, keputusan pucuk pimpinan Bersatu untuk melebarkan sayapnya ke Sabah merupakan tindakan yang wajar, bukan *sahaja* kerana adanya permintaan dari rakyat Pribumi Sabah, tetapi kehadiran Bersatu sebagai parti nasional dan salah sebuah parti yang memerintah negara ini amat perlu dalam konteks memacu pembangunan negeri Sabah.

“Sabah sebagai rakan sekutu dalam Persekutuan Malaysia, kita mesti merapatkan lagi hubungan kita dengan Kerajaan Persekutuan.

“Kerana itu lah kita menyertai Bersatu. Tubuhnya Bersatu di Sabah supaya mendokong kepada kepentingan bersama dalam satu negara Malaysia. Inilah wadah perjuangan yang membolehkan rakyat Sabah mendekatkan diri dengan Persekutuan.

“Oleh itu, sudah tiba masanya kita berfikir lebih besar dan jauh iaitu “Sabah untuk Malaysia” demi masa depan Sabah untuk terus maju ke hadapan.

“Lebih-lebih lagi kita kini berhadapan dengan pelbagai masalah seperti kehadiran pendatang tanpa izin yang ramai di negeri ini.

“Kerana itulah parti Bersatu wajar ada di Sabah supaya Sabah lebih dekat dengan Putrajaya.

“Bersatu mesti berperanan dan berada di hadapan jika ada pihak yang mahu mengganggu dan meregangkan hubungan baik Sabah dan Kerajaan Persekutuan”, tegasnya.

Hajiji juga mengingatkan pemimpin BERSATU supaya bersungguh-sungguh mendekati rakyat, bagi menjelaskan perjuangan parti itu.

Katanya, rakyat mahukan parti yang sentiasa memberi perkhidmatan dan membantu mereka, ini yang harus dilakukan oleh ahli-ahli Bersatu di semua peringkat dan bahagian.

Terdahulu, ketika melancarkan Program Sentuhan Kasih Srikandi Bersatu Bahagian Beaufort di Dewan Sebaguna Kg Pintas, Hajiji berkata ia adalah teras perjuangan parti yang dilakukan oleh Srikandi.

Beliau memuji usaha gigih Azizah yang juga Ahli Parlimen Beaufort kerana memastikan perjuangan parti terus dihayati oleh rakyat terutama golongan wanita.

“Ini jelas bahawa Bersatu Sabah berjuang untuk mereka. Bersatu peduli dan membela masa depan dan untung nasib mereka”, tegasnya.

Hadir sama ialah Ketua Bersatu Bahagian Beaufort, Datuk Isnin Haji Alisnih yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klias, Penolong Setiausaha Eksekutif Bersatu Sabah, Encik Abdul Kassim Razali, Setiausaha Srikandi Bersatu Sabah, Dato’ Redonah Bahanda dan pemimpin Srikandi dan Bersatu bahagian.-pr/BNN