Kerajaan wajar bela nasib ahli-ahli peladang -Shaari

0
Shaari Abdullah

KEDAH: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) menerusi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) perlu membela nasib ahli-ahli peladang yang mejoritinya terdiri daripada rumpun Melayu, kata Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Baling, Encik Shaari Abdullah.

Katanya,  ahli-ahli peladang kebanyakannya berada di kawasan luar bandar yang bergantung harap kepada PPK, amat memerlukan perhatian dan pembelaan daripada kerajaan.

Beliau berkata, ahli-ahli peladang yang terdiri daripada rumpun Melayu perlu terus diperkasa dan taraf hidup serta sosial ekonomi mereka perlu dipertingkatkan selaras dengan wawasan Kerajaan Baru.

“Masalah yang dihadapi oleh ahli-ahli peladang termasuk bantahan mereka terhadap pewartaan Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang (PP) 2019, pelantikan ahli-ahli politik sebagai Ahli Jemaah Pengarah (AJP) PPK, pelantikan Pegawai Pembangunan Peladang Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) perlu ditangani dengan baik dan harmoni.

“Justeru, ahli-ahli peladang amat berharap keprihatinan Menteri MOA, Dato Salahuddin Ayub yang juga selaku pemimpin Melayu dalam Kerajaan PH, untuk membela nasib mereka”, katanya dalam kenyataan, hari ini.

PPK baling turut menyokong kenyataan beberapa PPK di Sabah yang meminta Menteri MOA, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Nafas memberi penjelasan berhubung isu ahli politik tertentu mengisi jawatan lantikan politik dalam PPK dan Nafas.

Shaari berkata, usaha meningkatkan taraf ekonomi dan sosial ahli-ahli peladang perlu menjadi agenda utama Menteri MOA,  kerana terbelanya nasib ahli-ahli peladang, bererti terbela juga rumpun Melayu.

“Kita berharap usaha kerajaan mewujudkan satu masyarakat tani yang progresif, berdikari, makmur dan bersatupadu dapat menjadi kenyataan dibawah pimpinan Salahuddin”, tegasnya.-pr/BNN