KUALA PENYU: Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Penyu hari ini memohon Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) agar mendengar rintihan ahli-ahli peladang di negara ini.
Pengerusinya Tan Sri Wences Anggang berkata, Dato Salahuddin Ayub perlu melihat rintihan-rintihan yang dibangkit ahli-ahli peladang terutama oleh PPK dan Pertubuhan Peladang Negeri (PPN).
Selaku pemimpin lama dalam PP, beliau berharap rintihan dan masalah yang dibangkitkan oleh PPN dan PPK dapat diselesaikan dengan baik dan harmoni.
“Menteri MOA mempunyai kuasa untuk membantu dan menyelesaikan masalah dan isu-isu yang telah diketengahkan oleh ahli-ahli peladang di negara ini.
“Selaku Menteri yang menjaga hal ehwal pertanian dan asas tani, nasib dan masa depan ahli-ahli peladang dan petani di negara ini terletak di tangan beliau”, katanya dalam kenyataan,hari ini.
Beliau yang juga Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata demikian ketika mengulas pelbagai rintihan yang disuarakan oleh ahli-ahli peladang sejak akhir-akhir ini.
Wences berkata, sesuatu peraturan atau dasar baharu yang diperkenalkan oleh Kementerian, wajar dikaji semula sekiranya ianya mendapat bantahan oleh kumpulan sasar.
“Mana-mana kelemahan yang timbul daripada pelaksanaan sesuatu dasar baharu itu perlu dinilai dan ditambah baik demi kebaikan bersama.
“Keutamaan sesuatu dasar haruslah dapat menjaga kepentingan golongan sasar, selain memberi faedah kepada industri, sebaliknya bukan untuk kepentingan politik mana-mana”, tegasnya.-pr/BNN