Mazlan sudah menjadi pendaftar PP?

0
347
Datuk Haji Jaimin Samitah

RANAU: Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Ranau, Datuk Haji Jaimin Samitah hari ini mengkritik Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang Malaysia (LPP) Datuk Mazlan Aliman kerana mengeluarkan kenyataan media berhubung pelaksanaan Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Pertubuhan Peladang Negeri (PPN).

Katanya kenyataan peringatan kepada perwakilan-perwakilan Pertubuhan Peladang (PP) sempena MAT PPN kebiasaannya hanya dikeluarkan oleh “Pendaftar PP” yang juga Ketua Pengarah LPP.

“Hanyan Pendaftar PP yang berhak mengeluarkan peringatan seumpama itu kepada PP kerana status pendaftar ada kaitan langsung dengan PP dan bukannya Pengerusi LPP.

“Yang menghairankan ialah kenapa Mazlan telah mengambil alih tugas sebagai Pendaftar PP dengan mengeluarkan kenyataan peringatan itu.

“Adakah Mazlan sekarang sudah menjadi Pendaftar PP atau Ketua Pengarah LPP? Kenapa beliau membuat kenyataan media itu seperti dia adalah Pendaftar PP dan juga Ketua Pengarah LPP? “, katanya ketika mengulas Kenyataan Mazlan pada Jumaat.

Mazlan dalam kenyataannya antara lain berkata; “saya selaku Pengerusi LPP menasihatkan agar semua perwakilan dan Ahli Jemaah Pengarah (AJP) yang terlibat dalam pemilihan di MAT PPN dapat menjalankan hak dan tanggungjawab mereka untuk mengundi dalam menentukan kepimpinan di PPN berlandaskan perundangan yang sedang berkuatkuasa”.

“Pelaksanaan pemilihan AJP merupakan mandatori bagi memastikan segala operasi dijalankan di PPN berjalan dengan Iancar. Kegagalan PPN menjalankan MAT dengan sempurna ia secara Iangsung akan merugikan masyarakat Peladang keseluruhannya dan memberi kesan terhadap PPN”.

Jaimin berkata, Mazlan juga digelar sebagai pembohong oleh PPN Pahang (Pasfa) kerana menfitnah pertubuhan itu.

Katanya, Pengerusi Pasfa, Datuk Mustapha Abdul Hamid baru-baru ini mendakwa, Mazlan menuduh Pasfa adalah penganjur Konvensyen Peladang 2019, adalah tidak benar kerana Pasfa sebenarnya hanya bertindak sebagai Urusetia Konvensyen setelah mendapat persetujuan daripada Pertubuhan Peladang Negeri-Negeri (PPN).

“Pasfa juga tidak menggunakan kewangan PPN dalam penganjuran Konvensyen Peladang 2019 yang diadakan seperti yang dituduh oleh Mazlan”, katanya

Menurutnya, Mazlan juga mendakwa bahawa LPP tidak pernah memberi kelulusan kepada Pasfa, sedangkan Pendaftar PP, Puan Azulita Salim yang juga Ketua Pengarah LPP telah memberi maklum balas berhubungan penganjuran konvensyen itu menerusi suratnya bertarikh 18 September 2019.

“Oleh itu kami semua ahli peladang berjumlah hampir 1 juta orang di seluruh negara meminta Mazlan memohon maaf di atas pembohongan yang dia telah buat terhadap Pasfa itu dalam tempoh 48 jam dari tarikh kenyataan ini dikeluarkan.

“Kita kenal Mazlan ini, beliau biasanya buat kenyataan sesuka hati dan suka buat janji tapi janji beliau tidak pernah ditunaikan. Beliau pernah membuat berjanji dengan PPK Kinabalu, namun sehingga sekarang tiada yang dia tunai dan tiada kesudahannya”, tegas Jaimin.-pr/BNN