PPN Pulau Pinang hanya akan membayar elaun AJP Dipilih oleh MAT dan tidak kepada AJP Lantikan Menteri

0
1485
Ismail (duduk, tengah) bersama 13 AJP yang dipilih.

PULAU PINANG: Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Pulau Pinang dalam Mesyuarat Agung Tahunannya hari ini bersetuju dan menyokong kenyataan Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Baling,Tuan Haji Shaari Bin Abdullah yang menggesa Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) membela nasib ahli-ahli peladang yang majoritinya terdiri daripada rumpun Melayu.

Dato’ Hj Ismail bin Umar

Pengerusi PPN Pulau Pinang, Dato’ Haji Ismail Bin Umar berkata, Dato’ Salahuddin Bin Ayub perlu membela nasib ahli peladang yang terdiri daripada orang-orang Melayu di kawasan luar bandar.

“PPN Pulau Pinang bersetuju dan menyokong kenyataan Tuan Haji Shaari berhubung isu nasib peladang yang telah dibangkitkan oleh beliau baru-baru ini”, katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, MAT PPN Pulau Pinang juga bersetuju menggesa Menteri MOA dan Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) menarik balik pewartaan Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang (PP) Pindaan Mei 2019.

Katanya, MAT juga secara sebulat suara telah membuat keputusan untuk memilih 13 Ahli Jemaah Pengarah (AJP) PPN Pulau Pinang selaras dengan Peraturan-peraturan Pertubuhan Peladang Pindaan 2016.

“MAT hari ini juga telah bersetuju bahawa PPN Pulau Pinang hanya akan membayar elaun kepada AJP yang telah dipilih semasa MAT.

“Sementara AJP lain yang akan dilantik oleh Menteri MOA, pembayaran elaun hendaklah dilakukan oleh pihak MOA atau LPP kerana mereka adalah AJP lantikan politik”, tegasnya.

Ismail Umar berkata, adalah tidak adil kepada PPN Pulau Pinang sekiranya AJP lantikan politik yang dipilih oleh Menteri MOA, pembayaran elaun mereka terpaksa ditanggung oleh  PPN.

“PPN adalah milik ahli-ahli peladang dan ia bukannya syarikat pelaburan kerajaan yang mana kerajaan memiliki saham di dalamnya.

“PPN dan PPK adalah kepunyaan ahli-ahli peladang menerusi pemilikan saham yang mereka beli. Sementara MOA dan LPP tidak memiliki sebarang pegangan saham dalam PPN, PPK dan juga Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).

“Sekiranya Menteri MOA berhasrat melantik AJP lantikan politik di ketiga-tiga peringkat PP ini, maka MOA dan LPP perlu mengambil tanggung jawab membayar elaun mereka dan bukannya PPN, PPK atau NAFAS”, tambahnya.-pr/BNN