Tiada alasan hina masyarakat KDMR-Majimbun

0
74

KOTA KINABALU: Ia adalah satu penghinaan untuk menyamakan penduduk asal yang menetap di 18 kampung di daerah Inanam sebagai penduduk setinggan.

Mantan Ketua Daerah Kota Kinabalu dan salah seorang pemegang amanah kampung yang diwartakan di sekitar daerah ini, OKK Datuk William Majimbun (gambar), mengatakan penduduk asal  mempunyai hak untuk mendirikan kawasan perumahan di kawasan yang dibuka sebagai perkampungan mereka.

“Mereka (penduduk asal di 18 kampung ini) bukan penduduk setinggan seperti yang didakwa oleh (Timbalan Menteri Dalam Negeri) Datuk Azis Jamman … mereka adalah orang asal Sabah, bukan golongan yang masuk ke Sabah secara haram.

“Sebenarnya saya tidak faham kenapa perlu mewartakan dan penstrukturan semula kampung-kampung ini sedangkan ia telah lama menjadi penempatan penduduk asal di kawasan ini, mengapa ganggu mereka? Beliau (Azis) harus memberi tumpuan kepada pendatang tanpa izin yang tinggal di tanah kerajaan,” kata Majimbun yang  juga ahli majlis tertinggi Parti Bersatu Sabah (PBS).

Beliau berkata masyarakat KDMR (Kadazan, Dusun, Murut, Rungus) mempunyai hak untuk mencurigai keputusan kerajaan kerana penduduk kampung telah tinggal di kawasan ini berdekad lamanya.

“Mereka telah tinggal di sana berdekad lalu, dan ramai pemimpin terdahulu tahu akan kewujudan kawasan itu.

“Ya, kami bersetuju bahawa sesetengah kampung KDMR di Inanam belum diwartakan. Tetapi berdasarkan pengetahuan saya, kampung-kampung seperti Tampulan dan Perpaduan Keliangau telah memohon untuk diwartakan, namun belum mendapat kelulusan dari pihak berkuasa yang berkenaan. Yang pasti, perkampungan tersebut bukanlah kawasan setinggan, ia adalah kampung tradisi … penduduk telah lama menetap di sana sejak beberapa dekad lalu. Ia adalah perkampungan yang membangun, bukan sahaja mempunyai ketua kampung dan MPKK (Majlis Pengurusan Komuniti Kampung), tetapi juga sekolah di kawasan itu.

“Mengapakah beliau (Azis) menyamakan mereka penduduk kawasan setinggan? Melabel mereka sebagai penduduk setinggan adalah sama seperti menghina dan memandang rendah masyarakat KDMR. Tidak perlu lakukan saringan kerana kebanyakan masyarakat di kawasan itu rata-rata penduduk tempatan … kecuali ada niat untuk membawa masuk orang baru?” soal Majimbun.

Bagaimanapun, beliau percaya bahawa Azis yang Anggota Parlimen Sepanggar mungkin tidak dimaklumkan maklumat yang benar mengenai perkara itu. Apalagi beliau bukannya seorang penduduk tempatan di Inanam.

Majimbun juga menyatakan bahawa terdapat juga pergerakan oleh organisasi mengemukakan permohonan untuk menguruskan Tamu tradisi Inanam (pasar terbuka).

“Berdasarkan pengalaman terdahulu, saya yakin Datuk Bandar Bandaraya Kota Kinabalu akan mengendalikan perkara secara profesional tanpa rasa takut dan berat sebelah.

“Menyentuh perihal mengenai pasar tamu, ia mempunyai nilai-nilai tradisi yang melibatkan perletakan batu sumpah yang bertujuan untuk melindungi kepentingan masyarakat sekitar kawasan itu,” katanya.

Azis, dalam satu kenyataan baru-baru ini, berkata terdapat pelan penstrukturan semula untuk 18 buah kampung setinggan di Inanam yang kebanyakannya didiami oleh masyarakat KDMR, iaitu Kampung Bambangan (Sobog), Bambangan Baru, Kelingau, Kiang Lama, Perpaduan Keliangau, Kiapad, Kironggu, Maruah / Sumagid  , Natai Telipok, Pangasan, Poring-Poring, Pulau Penampang, Ruminding, Salut, Tampulan, Kebayai / Tamalang, Peniang dan Pinahawon.-pr/BNN