MEMBAKUT: Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) perlu membina sebuah litar lumba di negeri Sabah, kata Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah Encik Mohd Isquzawan Israq Datuk Arsit.
Katanya, pembinaan litar perlembaan motor itu perlu direalisasikan segera bagi memenuhi permintaan peminat sukan permotoran di negeri ini.
“Ramai anak-anak muda di Sabah berminat dengan sukan permotoran, tetapi Sabah masih tidak memiliki litar lumba.
“Justeru sudah tiba masanya KBS menimbang membina sebuah litar lumba untuk anak-anak muda Sabah agar sukan permotoran dapat dibangunkan dan dikembangkan di Sabah.
“Kita tidak minta litar lumba yang besar seperti Litar Antarabangsa Sepang. Sabah perlukan sebuah litar seperti Litar Pasir Gudang dan Litar Gong Badak di Terengganu bagi merangsang industri sukan pemotoran di negeri ini amnya dan Malaysia khasnya”, katanya.
Mohd Isquzawan berkata demikian pada Program TownHall Belia Negeri Sabah di Dewan Seri Wawasan Kampung Pimping, pada Ahad.
Menteri Belia dan Sukan, Encik Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut menghadiri program itu yang dianjurkan oleh Armada Negeri Sabah.
Turut hadir di majlis itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut, Datuk Haji Mohd.Arifin Mohd.Arif yang juga Bendahari BERSATU Negeri Sabah, ADUN Lumadan, Encik Matbali Musah dan ADUN Klias, Datuk Isnin Haji Alisnih.
Mohd. Isquzawan berkata, dengan adanya litar lumba di Sabah, anak-anak muda Sabah mempunyai tempat untuk berlumba dan mengetengahkan bakat mereka.
Beliau juga berharap lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan untuk anak-anak muda di negeri Sabah dibawah Belanjawan Negara tahun 2020.
“Dengan suntikan dana khas berjumlah RM6.5 bilion untuk mencipta 350,000 peluang pekerjaan tahun depan, Armada Sabah berharap Sabah turut mendapat limpahan peluang-peluang pekerjaan untuk anak-anak muda di bandar, pinggir bandar dan luar bandar”, tegasnya.
Mohd Isquzawan juga meminta KBS menaiktaraf gelenggan futsal di beberapa kawasan parlimen di negeri Sabah.
Katanya, itulah antara suara dan permintaan anak-anak muda di Sabah yang perlu diambil perhatian oleh Kerajaan menerusi KBS.
Menurutnya, Armada Sabah bukan sahaja sebuah platform politik tetapi adalah organisasi yang mendengar, mengumpul idea-idea dan kehendak anak-anak muda Sabah.
“Armada Sabah akan menyampaikan hasrat mereka dan bersama-sama perjuangkan isu-isu anak-anak muda negeri ini”, tegasnya.
Sementara itu, Mohd.Arifin yang juga Ketua BERSATU Bahagian Kimanis dalam ucapannya mencadangkan KBS membina sebuah Pusat Sukan Bersepadu Bahagian Pantai Barat Selatan di Membakut.
Katanya, para belia hanya dapat maju, berjaya dan status mereka dimartabatkan dengan memiliki nilai-nilai ilmu yang luhur.-pr/BNN