PITAS: Seramai 300 orang murid sekolah rendah daripada 3 buah sekolah di daerah ini menerima bantuan khas persekolahan daripada Parti Amanah Negara (Amanah) Kawasan Kudat.

Mereka menerima bantuan berupa pakaian sekolah dan kelengkapan persekolahan menerusi Program Bantuan Khas Persekolahan Murid, Parti Amanah.

3 sekolah yang terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Rukom, SK Senaja dan SK Mapan-mapan Pitas.

Pengarah Komunikasi Pemuda AMANAH Nasional, Encik Khairuddin Daud yang juga Pengerusi AMANAH Kawasan Kudat telah menyerahkan bantuan khas itu.

Katanya, 300 orang murid itu terdiri daripada keluarga yang kurang berkemampuan terpilih untuk menerima bantuan khas persekolahan ini.

“Setiap murid menerima pakaian sekolah, kasut sekolah, beg sekolah dan alat tulis bernilai RM 150.00 seorang”, katanya pada Majlis Penyerahan Bantuan Khas di SK Rukom pada Jumaat.

Sebahagian ibu bapa yang hadir.

Khairuddin juga mengingatkan kepentingan pendidikan kepada anak-anak.

“Ini kerana pendidikan mampu mengubah nasib diri, keluarga, masyarakat dan daerah Pitas.

“Umum mengetahui Pitas adalah daerah yang termiskin di Malaysia dengan pelbagai kemudahan yang masih kurang berbanding daerah-daerah lain.

“Namun, perkara tersebut harus diambil sebagai cabaran kepada ibu bapa dan warga pendidik untuk terus memastikan anak-anak jati daerah Pitas terus mendapat pendidikan yang terbaik”, tegasnya.

Di pihak Kerajaan beliau berkata, akan terus berusaha meningkatkan mutu pendidikan dan menyediakan kemudahan yang lebih selesa untuk para pelajar.

*Selaku Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Khairuddin turut memberikan respon terhadap kenyataan Pesuruhjaya Polis, Datuk Omar Mammah yang menyatakan nelayan turut terlibat sebagai pemberi maklumat atau “spotter” kepada penjenayah rentas sempadan dalam insiden penculikan di Pantai Timur Sabah.*

Khairuddin (tengah, baju putih) bergambar bersama murid-murid yang menerima bantuan khas persekolahan.

*”Sebagai sebuah agensi yang menjaga kepentingan nelayan di Malaysia, khasnya di Sabah, LKIM sentiasa memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam menangani jenayah.*

*”LKIM juga tidak akan berkompromi sekiranya mana-mana nelayan terlibat dalam kegiatan jenayah, tindakan tegas akan diambil dan akan diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut”, tegasnya.*

Sempena majlis penyerahan itu, Khairuddin turut mengumumkan sumbangan RM 1000 bagi menjayakan Kem UPSR SK Rukom pada tahun ini.-pr/BNN

Khairuddin menyerahkan bantuan khas kepada seorang pelajar.