KOTA KINABALU: Para perwakilan Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Sabah ke Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) di Kuala Lumpur, kesal kerana Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Sabah gagal mengurus perjalanan mereka ke MAT itu.
Ahli Jemaah Pengarah (AJP) PPK Putatan, Encik Muhamad Haji Said yang juga perwakilan ke MAT Nafas berkata, urusan pembelian tiket kapalterbang perwakilan sebelum ini telah diatur sendiri oleh PPN.
Bagaimanapun katanya, untuk MAT Nafas yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada 25 Februari 2020 ini, Pengurus Besar PPN, Catherina Edward telah mengarahkan PPK masing-masing mengurus sendiri urusan perjalanan mereka.
Katanya, tarikh perjalanan perwakilan dari Sabah yang diperakui oleh PPN Sabah ialah pada 24 Februari, 2020 (perjalanan pergi) dan 25 Februari, 2020 (perjalanan balik).
Menurutnya, Catherina juga memaklumkan bahawa pihak NAFAS juga tidak dapat menyediakan penginapan tambahan sehari bagi perwakilan dari Sabah.
Beliau berkata, tindakan PPN Sabah adalah keterlaluan kerana melepas tangan dalam urusan perjalanan perwakilan Sabah kepada PPK sedangkan bajet untuk menghadiri MAT Nafas telah diluluskan semasa MAT PPN Sabah.
“Beliau juga tidak prihatin apabila memperakui perwakilan Sabah mesti balik pada 25 Februari 2020, sedangkan MAT NAFAS diadakan pada hari yang sama”, katanya dalam kenyataan, hari ini.
Muhamad berkata, Catharina sepatutnya maklum dan sedar bahawa terdapat perwakilan Sabah yang datang dari daerah yang jauh seperti Pitas, Tenom, Nabawan, Kudat, Tongot dan Keningau.
Katanya, sekiranya perwakilan Sabah diminta balik pada petang atau malam 25 Februari 2020 selepas selesai MAT Nafas, ini bererti mereka akan tiba di Kota Kinabalu pada malam atau subuh.
“Bagi perwakilan dari daerah yang jauh sudah tentu mereka tidak sempat balik ke daerah masing-masing dan terpaksa belanja sendiri untuk menginap semalam di Kota Kinabalu.
“Adalah lebih baik sekiranya perwakilan Sabah diurus balik pada siang hari 26 Februari 2020 dan mereka boleh terus balik ke kawasan masing-masing dengan selesa dan tidak memenatkan.
“Perwakilan PPN Sabah mejoritinya berumur 60 tahun keatas.
“Sedangkan perwakilan Sabah yang bertolak ke Kuala Lumpur pada 24 Februari 2020 terpaksa berada di Kota Kinabalu pada 23 Februari dengan biaya sendiri”, tegasnya.
Muhamad berkata, perwakilan Sabah juga kesal kerana tindakan Catherina melepas tangan dan meminta PPK masing-masinh mengurus tiket penerbangan perwakilan.
Menurutnya, bukan semua PPK mempunyai kewangan yang kukuh untuk membiayai tiket penerbangan dan urusan perjalanan perwakilan ke MAT Nafas.
“Mengambil contoh PPK Putatan yang baru ditubuhkan, dengan sumber kewangan yang amat terhad, amat sukar untuk membeli tiket penerbangan. PPK lain juga menghadapi masalah yang hampir sama.
“Umum sedia maklum PPK di Sabah tiada yang mempunyai kemampuan sebaliknya hanya memiliki sumber kewangan yang terhad.
“Masalah ini tidak berbangkit sekiranya PPN Sabah tidak melepas tangan dalam mengurus perjalanan perwakilan ke MAT Nafas kerana sebelum itu urusan tersebut diurus sendiri oleh PPN”, tegasnya.
Serentak itu beliau meminta Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Sabah campur tangan berhubung urusan tersebut.
Muhamad yang juga Ahli Jawatankuasa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian P.173 Putatan berkata, sekiranya perwakilan PPN Sabah gagal menghantar perwakilan menghadiri MAT Nafas, yang akan dipersalahkan ialah Pengarah LPP Sabah.
“Justeru saya meminta Pengarah LPP Sabah, Puan Anita Misuari sendiri yang mengurus perjalanan perwakilan Sabah ke MAT Nafas, kerana kami tidak percaya dengan Catherina”, tegasnya.-pr/BNN