KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah diterajui oleh parti WARISAN tidak seharusnya memalukan rakyat Sabah sekiranya tidak mampu memberi bantuan untuk meringankan beban dalam tempoh masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan oleh kerajaan.
Menurut Ir. Jovilis Majami jawapan yang diberikan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Shafie Apdal kepada soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambunan Datuk Dr. Jeffrey G. Kitingan seperti yang dipetik oleh Utusan Borneo Online seolah-olah menujukan selama ini rakyat Sabah bergantung sepenuhnya kepada bantuan kerajaan negeri untuk hidup.
Sepatutnya persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini boleh dijadiakan landasan untuk menyelesaikan rungutan dan masalah rakyat Sabah sepanjang tempoh PKP ini seperti pakej rangsangan ekonomi yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri tidak menyeluruh, rungutan masyarakat bahawa bantuan kerajaan negeri hanya ditempat-tempat tertentu sahaja dan permohonan bantuan ‘one off’ RM300 susah untuk dibuat dan bukannya menuduh rakyat dengan tuduhan yang bukan-bukan.
Ir. Jovilis berkata melabel rakyat dengan kata-kata bahawa ‘membantu rakyat sepatutnya tidak dijadikan budaya sebaliknya rakyat perlu membantu diri-sendiri‘ adalah sangat pedih dan sakit didengar oleh rakyat ketika mereka kini tertekan kerana tidak tahu dimana mendapatkan sumber kewangan untuk membeli keperluan harian akibat mematuhi arahan kerajaan.
“Saya percaya Ketua Menteri tahu bahawa rakyat kehilangan sumber pendapatan bukanlah disebabkan oleh masalah rakyat itu tetapi sebaliknya disebabkan oleh mereka mematuhi arahan kerajaan untuk tidak keluar berkerja maka sudah seharusnya kerajaan perlu bantu mereka”
“Tindakan kerajaan pusat untuk melaksanakan PKP disusuli dengan memperkenalkan pelbagai ramuan bantuan kewangan untuk meringankan beban rakyat yang terjejas termasuklah bantuan sokongan kepada kerajaan negeri sebanyak 130 juta sepanjang perintah ini berkuatkuasa sepatutnya digunakan sepenuhnya oleh kerajaan negeri untuk membantu rakyat”
Ir. Jovilis menambah tanggungjawab kerajaan pusat untuk melindungi rakyat daripada pandemik COVID19 sudah dilaksanakan manakala rakyat Sabah juga memberi respon yang baik untuk menunaikan tanggungjawab mereka seperti yang diminta oleh kerajaan jadi kerajaan negeri juga seharusnya menunaikan tanggungjawab meraka kepada rakyat Sabah dan bukannya dengan melemparkan tuduhan yang boleh menambah tekanan kepada rakyat.
Mengulas menganai kenyataan Pengarah Komunikasi Parti WARISAN Ismaily Bongsu bahawa isu ini timbul selepas Ketua Menteri menjawab soalan daripada ADUN Tambunan yang membawa maksud selepas PKP ini selesai, Ir. Jovilis berkata ianya cuma kenyataan untuk meredahkan kemarahan rakyat selepas KM mereka mengeluarkan kata-kata yang tidak elok.
“Saya juga ada meneliti teks ucapan yang disampaikan oleh Dr. Jeffrey G. Kitingan dan lima daripada tujuh perkara yang disentuh oleh beliau adalah menjurus kepada bantuan semasa perintah PKP ini berjalan dan bukannya selepas negara kita bebas daripada COVID19”-di petik dari Salamborneo.home.blog