TUARAN: Seramai 200 orang mantan ahli Parti Warisan Sabah dan Amanah hari ini mengisytiharkan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Tuaran.

Hajiji menyerahkan borang keahlian kepada Encik Adneh bin Setuh.

Mereka diketuai oleh mantan Ketua Penyelaras Amanah Bahagian Tuaran/ Pimpinan Amanah Negeri Sabah, Encik Ramli bin Asrih, mantan Ketua Cawangan Warisan Kg. Sri Berundung Bolong Baru, Encik Adneh bin Setuh, mantan Pemimpin Warisan Kg. Indai
Tuaran, Encik Alipudin bin Jikah,mantan Pemimpin Warisan Kg. Termunong, Encik Lamndin Jikah dan Encik Matdin bin Jalali dan kumpulannya.

Mereka menyertai BERSATU kerana yakin dengan kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden BERSATU dan Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yang juga Ketua BERSATU Bahagian Tuaran.

Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman mengalu-alukan penyertaan mereka dalam BERSATU pada majlis ringkas penyerahan borang keahlian yang diadakan di pejabat BERSATU Tuaran, hari ini.

Hajiji menyerahkan borang keahlian kepada Encik Lamndin bin Jikah

Katanya, putusan mereka menyertai BERSATU sebagai platform perjuangan baharu kerana yakin dan percaya bahawa BERSATU mampu membela nasib dan masa depan rakyat Pribumi di negeri ini.

“Keyakinan mereka juga bersandarkan hakikat bahawa Kerajaan Perikanan Nasional (PN) dibawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan kerajaan yang prihatin dan peduli rakyat terutama semasa krisis pandemik Covid-19.

“BERSATU juga yakin PN Sabah akan dapat membentuk Kerajaan Negeri Sabah pada pilihan raya umum (PRU) akan datang”, tegasnya.

Hajiji berkata, sokongan rakyat Sabah terhadap BERSATU terus meningkat setiap hari dengan penyertaan ramai masyarakat Pribumi Sabah.

Matdin Jalali menerima borang keahlian daripada Hajiji.

“Mantan pemimpin dan ahli-ahli parti yang mendokong Kerajaan Negeri juga memilih BERSATU sebagai platform perjuangan mereka”, tegasnya.

Turut hadir di majlis itu Timbalan Ketua BERSATU Bahagian Tuaran, Encik Abdul Kassim Hj Razali, Ketua Srikandi BERSATU Bahagian, Puan Jamaliah Antalip.

Ketua Armada BERSATU Bahagian, Encik Mohammad Ghazali DSP Haji Hajiji dan Setiausaha BERSATU Bahagian, Encik Afizal bin Aldin.-pr/BNN

Hajiji menyerahkan borang keahlian kepada Encik Ramli bin Asrih.