KUALA LUMPUR: Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Sabah telah menghantar surat rasmi kepada Menteri Pertanian dan Industri Makanan Malaysia (MAFI), Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee memohon agar Pengurus Besar (GM) PPN ditukar segera.

Surat itu telah diserahkan sendiri oleh Ahli Jemaah Pengarah (AJP) PPN Sabah, Datuk Ng Loi Tect kepada Dr. Ronald pada pertemuan mereka di Kuala Lumpur, semalam.

Ng berkata, PPN Sabah memohon kepada Dr.Ronald agar Cik Catherina Edward yang telah dipinjamkan dari Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dapat ditukar balik dengan kadar segera.

“Ini adalah selaras dengan keputusan mesyuarat AJP PPN Sabah pada 25 Jun 2020 yang mahu Catherina ditempatkan semula ke LPP setelah gagal melaksanakan tugas yang diamanahkan.

“LPP perlu menguruskan pertukaran pegawai itu pada kadar segera demi kebaikan dan faedah ahli-ahli peladang di Sabah”, katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ng yang juga Pengerusi Pertubuhan Peladang (PPK) Pitas berkata, pengurusan LPP tidak patut melengah-lengahkan pertukaran balik pegawainya yang telah dipinjamkan sebagai GM di PPN Sabah.

Menurutnya, Ketua Pengarah (KP) LPP Puan Azulita Salim dan Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan LPP, Puan Hajah Nor Faizah Binti Umar sepatutnya telah mengambil tindakan membuat pertukaran Cik Catherina.

Katanya, Pengarah LPP Sabah, Puan Anita Misuari yang turut hadir pada mesyuarat itu telah memaklumkan mengenai perpindahan balik pegawai itu.

“Cik Catherina perlu segera ditukar balik ke LPP berikutan banyak aduan yang diterima daripada pemimpin dan ahli-ahli peladang Sabah bahawa beliau gagal mentadbir PPN dengan baik.

“Saya di fahamkan LPP Sabah dan LPP Kuala Lumpur iaitu pejabat lama Catherina (Bahagian Kewangan) di mana pengarahnya Razana Hj Ghazali enggan menerima pegawai ini. Sebab itulah beliau lambat ditukar balik.

“Kelewatan pertukaran Catherina akan menyebabkan PPN menanggung kerugian.

“Sekiranya benar Catherina enggan diterima balik oleh bahagian kewangan LPP, maka sama-samalah ahli peladang menilai macam mana pegawai ini sebenarnya”, kata Ng.

Ng yakin dengan surat permohonan rasmi daripada PPN Sabah kepada Menteri MAFI, pertukaran balik pegawai itu ke tempat asalnya dapat dijalankan dengan segera.-pr/BNN

Ng (kiri) menyerahkan surat rasmi PPN Sabah kepada Datuk Seri Dr.Ronald Kiandee