KUANTAN: Sudah sampai masanya perlembagaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi penubuhan cawangan dipinda untuk menambah jumlah cawangan sedia ada.

Setiausaha Badan Pimpinan Bersatu Sabah Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata pindaan fasal perlembagaan penubuhan cawangan itu perlu dibuat supaya tidak berdasarkan jumlah Pusat Daerah Mengundi (PDM) di setiap kawasan Parlimen.

Katanya ini sejajar dengan perkembangan semasa parti itu yang semakin mendapat sambutan menggalakkan dari segi permohonan menjadi ahli.

Beliau yang bertanding jawatan Naib Presiden Bersatu pada pemilihan kali ini berkata ketika ini cawangan yang ada ditubuhkan berdasarkan jumlah PDM yang terdapat di setiap Parlimen terhad jumlahnya.

“Jika jumlah cawangan ditambah seperti berasaskan kampung, ia akan membuka peluang lebih ramai menjadi ahli Bersatu.

“Ini sesuai dengan perkembangan semasa Bersatu yang mendapat sambutan menggalakkan dari segi mereka yang berkeinginan mahu menjadi ahli,” katanya pada Majlis Ramah Mesra Bersama Pimpinan Bersatu Pahang di sini pada Sabtu.

Ronald yang juga Ketua Bersatu Bahagian Beluran berharap cadangan ini akan dipertimbangkan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

Beliau juga berkata Bersatu kini menjadi platform kepada golongan muda yang berminat dalam bidang politik dan menjadi pemimpin.

Katanya ketika ini ramai pemimpin Bersatu khususnya di peringkat bahagian adalah golongan muda termasuk menjawat jawatan Ketua Bahagian.

“Kecenderung anak muda sertai parti (Bersatu) ketara..ini menunjukkan perkembangan positif politik negara dalam melahirkan pelapis pemimpin negara.

Justeru, katanya, keahlian parti perlu terbuka menerusi penambahan jumlah cawangan di setiap bahagian.

Katanya langkah ini juga akan memperkukuhkan peringkat akar umbi parti.

Berpandukan fasal 11.2 Perlembagaan Bersatu, penubuhan satu cawangan bagi setiap satu PDM.-pr/BNN