Calon BN Karamunting akan lancar manifesto

0
88
Chew meets with Kampung Pukat residents during his walkabout on Tuesday

SANDAKAN: Calon Barisan Nasional (BN) bagi DUN Karamunting, Dato Chew Kok Woh bakal melancarkan manifesto sebagai tawaran kepada pengundi di kawasan itu dalam masa terdekat.

Beliau berkata manifesto dalam bentuk rakaman video itu akan memaparkan idea dan misi yang akan dilakukan oleh beliau sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat di kawasan itu.

“DUN Karamunting adalah antara kawasan yang kurang membangun. Sebagai calon BN, saya melihat Kampung Pukat berpotensi dibangunkan sebagai tempat pelancongan, manakala Pelabuhan Karamunting boleh menjadi satu sumber pekerjaan untuk anak-anak muda.

“Saya pernah menjawat jawatan sebagai Timbalan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Bintulu, dan apa salahnya saya gunakan pengalaman yang ada untuk memajukan Pelabuhan Karamunting.

“Sebelum ini, saya juga pernah menjadi Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Sandakan, dan saya tahu apa yang rakyat mahukan termasuk di kawasan Karamunting ini,” katanya di Sandakan.

Sehubungan itu, beliau meminta pengundi di Karamunting agar memberi peluang kepada beliau untuk menjadi wakil mereka sekurang-kurangnya bagi satu penggal.

“Karamunting sebelum diwakili oleh wakil rakyat dan parti berbeza. Oleh itu, tidak ada salahnya untuk beri peluang satu penggal kepada saya.

“Dalam tempoh tersebut, pengundi di Karamunting boleh menilai sama ada prestasi saya bagus atau sebaliknya.

“Kalau prestasi saya tidak bagus, pengundi ada kuasa untuk tukar wakil rakyat atau pucuk pimpinan parti sendiri boleh tukar saya,” jelasnya.

Menerusi Pilihan Raya Umum bagi kerusi DUN Karamunting, Chew bakal ditentang oleh enam calon lain iaitu Ha Cheun Hoo (LDP), Lee Tiang Yong@Lee Chee Ui (PPRS), Loo Mun Yew (Parti Cinta Sabah), Rachel Singh Chal (USNO), Kong Nyuk Thou (PBS) serta penyandangnya, Hiew Vun Zin (Warisan).- pr/BNN

Chew Kok Woh berjumpa dengan penduduk di Jalan Cecily, Sandakan