416 pesakit COVID-19 sembuh dan discaj dari hospital

0
185

KOTA KINABALU: Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 di negeri ini adalah sebanyak 289 kes. Jumlah kumulatif ialah sebanyak 23,482 kes. Hari ini dua (2) kes kematian dicatatkan iaitu masing-masing satu (1) kes di Daerah Sandakan dan Kota Kinabalu. Takziah kepada semua keluarga yang terlibat.

Pada hari ini, seramai 416 pesakit COVID-19 telah discaj / sembuh dari hospital. Manakala, seramai 2,250 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 667 orang di hospital dan 1,583 orang di PKRC. Bilangan pesakit COVID-19 dalam ICU ialah 75 orang dan 19 orang pula memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).

Pada hari ini, tiada kluster baharu dilaporkan.

Daripada 289 kes positif COVID-19 hari ini, sebanyak 135 kes (46.71%) adalah dari Daerah Kota Kinabalu, Sandakan, Lahad Datu dan Tawau yang berpunca dari saringan kontak rapat. Selebihnya iaitu 154 kes adalah dari lain-lain kategori.

Jumlah kapasiti katil di Hospital COVID-19 adalah sebanyak 1,007 katil. Sementara, di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) adalah sebanyak 5,569 katil menjadikan jumlah keseluruhan 6,576 katil. Peratus penggunaan katil pada hari ini adalah 34.22%.

PENAMATAN PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN DIPERKETATKAN (PKPD) DI TAMAN MESRA, SANDAKAN

Kerajaan sebelum ini telah melaksanakan PKPD di Taman Mesra, Sandakan bermula 28 Oktober 2020 sehingga 10 November 2020 yang kemudian dilanjutkan sehingga 24 November 2020.

Berdasarkan penilaian risiko dan saringan yang telah dilaksanakan oleh KKM mendapati kes positif COVID-19 di kawasan ini telah menurun dan terkawal. KKM telah melaksanakan sebanyak 1,171 ujian saringan dan sebanyak 174 kes kumulatif positif COVID-19 telah direkodkan.

Sehubungan itu, atas nasihat KKM, Sidang Khas MKN hari ini bersetuju agar pelaksanaan PKPD di Taman Mesra, Sandakan ditamatkan pada 24 November 2020 seperti yang dijadualkan.

Walau bagaimanapun, lokaliti ini masih tertakluk kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seluruh Negeri Sabah yang sedang berkuat kuasa.

PELANJUTAN PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN DIPERKETATKAN (PKPD) DI KG SABAH BARU, LAHAD DATU

Kerajaan juga sebelum ini telah melaksanakan PKPD di Kg Sabah Baru, Lahad Datu bermula 10 November 2020 sehingga 23 November 2020. Sehingga 15 November 2020, sebanyak 1,914 ujian saringan telah dilaksanakan dan 200 kes positif COVID-19 telah direkodkan di lokaliti ini.

Pelanjutan tempoh PKPD ini bagi membolehkan saringan berterusan dapat dilakukan oleh pihak KKM bagi membendung penularan COVID-19 di lokaliti ini. Atas nasihat KKM, Sidang Khas MKN hari ini bersetuju untuk melanjutkan lagi PKPD di Kg Sabah Baru, Lahad Datu mulai 24 November 2020 sehingga 7 Disember 2020.

BANTUAN BAKUL MAKANAN (FOOD BASKET)

Sehingga hari ini, sebanyak 216,150 bakul makanan telah diagihkan kepada golongan sasar.

LAPORAN SEKATAN JALAN RAYA (SJR), PENGUATKUASAAN PERAIRAN SABAH, SANITASI DAN HEBAHAN UMUM INFO ON WHEELS

Sebanyak 72 SJR telah dilaksana melibatkan pemeriksaan 31,426 kenderaan. Daripada jumlah tersebut, 140 buah kenderaan diarah berpatah balik. Tiada tangkapan namun 3 kompaun dikeluarkan atas kesalahan melanggar SOP COVID-19. PDRM juga telah melaksanakan 79 hebahan melalui kereta peronda. Penguatkuasaan SOP turut dijalankan di perairan laut Sabah oleh Pasukan Polis Marin yang melibatkan 49 pemeriksaan di kawasan Pantai Timur dan 26 pemeriksaan di perairan Kota Kinabalu dan Labuan.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah telah melaksanakan sanitasi di enam (6) premis di empat (4) buah daerah iaitu Beluran, Tawau, Kota Belud dan Semporna.  Hebahan umum Info On Wheels Jabatan Penerangan Sabah mengenai pematuhan SOP, amalkan 3W, elakkan 3C dan pembudayaan norma baharu telah dilaksanakan di 117 lokasi di 16 daerah. Hebahan dibuat dalam (3) bahasa iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Bajau dan Bahasa Dusun.

BANTUAN LOGISTIK

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri mempunyai 241 buah kenderaan yang sedia digunakan bagi tujuan bantuan logistik COVID-19.  Daripada jumlah tersebut, sebanyak 48 buah kenderaan digunakan untuk mengangkut pesakit COVID-19. Manakala 22 buah kenderaan digunakan untuk menghantar bakul makanan ke lokasi sasaran dan baki 171 kenderaan pelbagai jenis bersedia digerakkan jika perlu.

Kerjasama padu daripada semua pihak amat penting dalam usaha untuk memutuskan
rantaian COVID-19 dengan mematuhi SOP yang sedang berkuat kuasa dan mengamalkan norma baharu dalam kehidupan seharian. Masyarakat dinasihatkan untuk menjalani ujian saringan dengan kadar segera sekiranya mempunyai kontak rapat dengan individu yang disahkan positif COVID-19.

#kitajagakita #stayhome #staysafe #workfromhome #normabaharu

YB MENTERI KERAJAAN TEMPATAN DAN PERUMAHAN DAN MENTERI KEWANGAN II
23 November 2020