TUARAN: Isteri Ketua Menteri, Datin Seri Juliah Salag, melawat dan merasmikan Pusat Pentadbiran Baru Pusat (Amal) Latihan dan Amali (PALDA)-OKU Sabah, di Syahbandar, di sini, hari ini.

Pada majlis itu Juliah turut menyaksikan sumbangan sebanyak RM30,000 daripada Sabah Energy yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutinya, Dato’ Hj Harun Ismail kepada Pengasas dan juga Pengurus PALDA-OKU Sabah, Haji Azman Saidin.

Yang turut hadir ialah Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Ir Shahelmey Bin Yahya; Pengerusi Sabah Energy, Datuk Annuar Ayub dan Naib Canselor UMS yang juga Komandan PALAPES UMS, Kepten (K) Prof. Datuk ChM Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin.

Juliah turut melakukan lawatan ke bengkel PALDA-OKU di Kampung Selaud Baru, yang terjejas teruk akibat banjir pada tahun lalu.

Sementara itu, kesungguhan dan semangat tinggi golongan orang kurang upaya (OKU) turut mendapat perhatian isteri ketua menteri.

Juliah berkata, walaupun mereka berdepan pelbagai masalah termasuk bangunan mereka dilanda banjir beberapa kali tahun lalu hingga meranapkan keseluruhan bengkel perabot, tetapi ia tidak menjejaskan semangat mereka atau berputus asa.

“Saya berharap dengan sumbangan kewangan oleh Sabah Energy pada hari ini mampu meringankan bebanan yang ditanggung oleh pusat ini,” katanya.

Juliah turut memuji inisiatif gotong-royong daripada PALAPES UMS yang diketuai Ketua Jurulatih PALAPES, Mej Erika Fatra Raslita Rusli, membersihkan pusat berkenaan di Kampung Selaud Baru, di sini, yang terjejas teruk akibat dilanda banjir tahun lalu.

“Hasil daripada gotong-royong itu mereka memutuskan untuk meneruskan Kerjasama bagaimana membantu masyarakat yang memerlukan. Saya berharap jaringan komuniti seperti ini dapat diperluaskan lagi,” katanya.

Ketika ini pusat mempunyai serami 33 orang golongan OKU yang berdaftar dan kakitangan yang sentiasa mendukung usaha murni ini.

Juliah turut merakamkan penghargaan kepada Sabah Energy atas bantuan sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) agensi itu kepada golongan memerlukan di Sabah.

“Terima kasih juga kepada Menteri Pembangunan Masyarakat dan Rakyat Sabah, yang turut hadir meninjau keadaan, bagi membuat penilaian di samping memperolehi gambaran sebenar pusat ini.

“Terima kasih juga kepada UMS dan PALAPES sebagai pengantara di antara kerajaan dengan masyarakat. UMS bukan sahaja sebagai gedung ilmu kepada anak-anak bangsa Sabah melanjutkan pengajian mereka ke menara gading tetapi warga UMS terlibat dalam aktiviti khidmat masyarakat,” katanya.-pr/BNN