Bayaran IPG kepada pekebun kecil getah daerah Kuala Penyu

0
178
Penerima insentif pengeluaran getah (IPG) bersama dengan pengerusi LIGS Datuk John OT Ghani dan Pengerusi besar LIGS Datuk Harris Matthews di pejabat LIGS Kuala Penyu

KUALA PENYU: Satu majlis ringkas telah diadakan di pejabat Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) daerah Kuala Penyu untuk menyerahkan bayaran Insentif Pengeluaran Getah (IPG) yang tertunggak bagi tempoh 7 bulan iaitu mulai bulan Mei hingga November 2018.

Seramai 21 orang daripada jumlah keseluruhannya 259 pekebun kecil getah di daerah tersebut telah menerima bayaran insentif yang mana telah diserahkan sendiri oleh Pengerusi LIGS, Datuk Johan @Christopher OT Ghani. Sejumlah RM20,435.24 telah diagihkan kepada pekebun kecil getah yang hadir dengan jumlah bayaran IPG terendah RM280.20 hinggalah kepada yang tertinggi RM2,302.24.

IPG adalah merupakan insentif yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan kepada pekebun
kecil getah di seluruh negara bila mana harga getah dengan 50% kandungan getah kering
(KGK) di peringkat ladang berada di bawah kadar RM2.20 sekilogram dalam tahun 2018.
Pembayaran IPG ini akan dibuat di peringkat ladang mengikut jadual pembelian di setiap
daerah. Sementara itu, para pekebun kecil yang menerima pembayaran IPG melalui bank pula boleh membuat semakan di bank masing-masing mulai 1 Februari 2019. Pembayaran IPG ini akan dilaksanakan sehingga 15 Mac 2019.

Pengerusi LIGS dalam ucapan ringkasnya berharap agar pemberian IPG dapat membantu
untuk meringankan beban kewangan para pekebun kecil getah semasa harga getah berada di tahap yang rendah. Beliau juga memaklumkan dalam majlis tersebut bahawa IPG bagi bulan Disember 2018 akan dibayar selepas wang peruntukan diterima oleh LIGS daripada Kerajaan Persekutuan.

Beliau juga menggesa agar para pekebun kecil getah terus berusaha untuk
meningkatkan produktiviti mereka dan terus memberi sokongan padu kepada pihak LIGS dalam memastikan objektif Kerajaan untuk membantu para pekebun kecil getah khususnya di negeri Sabah dapat direalisasikan.-pr/BNN