KOTA KINABALU: Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP) Kementerian Pembangunan Perindustrian bagi tahun 2021-2025 dilancarkan hari ini sebagai panduan dan rujukan kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha memantapkan tadbir urus, integriti dan anti-rasuah kementerian.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian (MID), Datuk Dr. Joachim Gunsalam berkata Pelan Anti Rasuah MID ini akan digunapakai oleh Kementerian dan agensi-agensi di bawahnya dalam usaha menyahut seruan Kerajaan bagi memantapkan governance, integriti dan anti rasuah.
Ini selaras dengan Visi Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023 iaitu “Malaysia dikenali kerana integriti bukannya rasuah”, katanya semasa melancarkan pelan tersebut di majlis yang diadakan di Kementerian sini pada Khamis.
Dr. Joachim berkata selaras dengan visi pelan OACP MID iaitu “MID sebagai peneraju pembudayaan ketelusan integriti”, Kementerian ini mengambil langkah strategik melalui pembangunan pelan OACP MID selama lima tahun bermula 2021-2025 yang menggariskan lima strategi utama.
Strategi utama tersebut termasuk mempertingkatkan keberkesanan dan ketelusan dalam memperkukuhkan pembangunan keusahawanan; memperkukuhkan kompetensi, integriti dan kredibiliti sebagai penghubung antara kerajaan dan agensi; meningkatkan kompetensi pegawai dan ketelusan pentadbiran kewangan; memperkasa perkhidmatan tadbir urus korporat yang baik; dan memperkukuhkan akauntabiliti dan integriti pihak berkepentingan.
“Saya difahamkan bahawa sebanyak 35 inisiatif dikenal pasti bagi memperkukuhkan kualiti penyampaian Kementerian ini.
“Kesemua (35) inisiatif ini dikenal pasti berdasarkan jangkaan impak yang besar ke arah kejayaan memantapkan anti rasuah, tadbir urus dan integriti di MID. Hal ini adalah untuk menjamin inisiatif-inisiatif yang diketengahkan dapat dilaksanakan dengan baik dan berkesan,” kata Dr. Joachim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang.
Bagi memastikan visi dan misi pelan ini dapat direalisasikan, katanya, Jawatankuasa Antirasuah (JAR) di peringkat Kementerian diperkasakan bagi memastikan pelaksanaan pelan OACP MID dapat dipantau di samping mengenal pasti cabaran-cabaran sepanjang pelaksanaan OACP MID.
“Saya juga ingin menyeru semua agensi-agensi di bawah seliaan Kementerian untuk menghasilkan pelan anti rasuah masing-masing untuk menambahbaik sistem pengurusan anti rasuah di organisasi masing-masing.
“Besar harapan saya agar Pelan OACP MID 2021-2025 ini dapat dihayati dan dipatuhi bagi meningkatkan lagi ketelusan, kecekapan dan akauntabiliti dan tadbir urus Kementerian seterusnya melestarikan budaya kerja sifar rasuah melalui pematuhan semua undang-undang, peraturan dan arahan semasa,” katanya.
Selain itu, Dr. Joachim juga menyeru kepada semua warga Kementerian agar dapat menggembleng tenaga dan usaha meningkatkan kualiti sistem penyampaian yang efisien supaya semua inisiatif di bawah kerangka OACP ini berjaya dilaksanakan sepenuhnya dalam tempoh lima tahun, serta memberikan impak yang baik kepada rakyat dan negara yang kita sayang.
“Saya percaya, dengan pelaksanaan OACP dalam kalangan Kementerian, prestasi sektor awam dan kepercayaan rakyat akan bertambah baik,” katanya.
Turut hadir Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian, YB Tuan Tamin Zainal, Setiausaha Tetap MID, Thomas Logijin, Timbalan Setiausaha Tetap MID selaku Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pelan Anti Rasuah Kementerian Pembangunan Perindustrian bagi tahun 2021-2025 dan Pengerusi Penganjur Majlis Pelancaran Pelan Anti Rasuah MID, Tseu Kei Yue, Timbalan Pesuruhjaya Karunanitihy a/l Y Subbiah, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, Maysara Mohamad, Pegawai Integriti Unit Negeri Sabah serta ketua-ketua jabatan dan agensi di bawah MID. -pr/BNN
Dr. Joachim (duduk, tengah)sambil memegang buku OACP menunjukkan isyarat tanda bagus bersama dengan Ketua-Ketua Jabatan MID.