TAWAU: Rakyat Sabah disaran supaya memainkan peranan dan kerjasama dalam membantu kerajaan membendung penularan Covid-19.
Mantan Menteri Belia dan Sukan Sabah,Tan Sri Liew Yun Fah berkata, semua pihak seharusnya bertanggungjawab dan tidak terlalu bergantung sepenuhnya kepada kerajaan untuk berdepan wabak berkenaan.
Katanya, sekiranya berlaku sebarang kesilapan, maka rakyat seharusnya memberi pandangan dan bukannya fitnah sehingga menimbulkan isu lebih besar.
“Kita seharusnya memberi pandangan dan bukannya fitnah kerana apabila keadaan terlalu emosi, ia tidak akan membantu menyelesaikan masalah yang timbul.
“Saya nampak ketika ini banyak memfitnah Ketua Menteri dan pemimpin kerajaan di laman sosial. Ini perkara yang tidak baik dan tidak sepatutnya berlaku,” katanya dalam perutusan sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke 64.
Liew berkata, segala yang berlaku bukan keputusan Ketua Menteri, sebaliknya mendapat komen dari pelbagai pihak sebelum melaksanakan sesuatu arahan.
Menurutnya, terdapat banyak saluran untuk sesiapa saja menyuarakan pandangan dan teguran membina untuk membantu kerajaan.
“Selaku rakyat Sabah, marilah kita bersama-sama memberi kerjasama kepada kerajaan. Pemimpin negara pun boleh bekerjasama dengan pembangkang.
“Kenapa pula kita tidak boleh bekerjasama dengan kerajaan sedia ada yang prihatin untuk bersama-sama menyelesaikan masalah yang ada terutamanya cabaran pandemik COVID-19,” katanya.
Liew berkata, ketika ini, kadar pandemik Covid-19 sudah mencecah lima angka di negara ini dan di Sabah juga sudah mencecah empat angka.
Katanya, ia bukan masalah pemimpin dan kerajaan semata-mata tetapi sebaliknya masalah semua pihak di negara ini.
“Sebab itu, kerjasama diantara rakyat, pemimpin politik dan kerajaan amat penting bagi membendung COVID-19”, tegasnya.-pr/BNN