KOTA KINABALU: Kebersamaan rakyat Malaysia dalam sambutan Tahun Baharu Cina menjadi pemangkin kepada pemulihan dan pertumbuhan ekonomi negara.
Presiden Gabungan Persatuan Cina Sabah (FCAS), Tan Sri T C Goh berkata, umum mengetahui ekonomi negara dan negeri ini terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu.
Namun katanya, pembukaan pasar malam pada tahun ini sudah tentunya menjadi salah satu proses asas dalam memulihkan ekonomi setempat.
“Saya bersyukur dan keadaan ini patut diteruskan supaya ekonomi Sabah dapat dipulihkan dalam jangka masa yang singkat.
“Inilah kita perlukan untuk ekonomi tempatan, sekiranya ‘domestic market’ (pasaran tempatan) tidak dapat dipulihkan, apa lagi kita dapat mengharapkan orang luar untuk datang ke Sabah,” katanya ketika ditemui ketika meninjau pasar malam Lido, di sini, malam tadi.
Goh berkata, semangat kebersamaan keluarga Malaysia dan Sabah itu perlu diteruskan untuk menentukan kejayaan Halatuju, Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Inilah tunjang kepada rakyat berbilang kaum untuk hidup hormat menghormati dalam keamanan dan keharmonian.
“Di negara ini, setiap perayaan diraikan bersama-sama tanpa mengira bangsa dan agama.
“Jadi inilah keistimewaan Sabah dan Malaysia. Kita harapkan apabila ruang udara dibuka, pelancong akan datang dan melihat keunikan negara ini dan macam mana Sabah merayakan Tahun Baharu Cina. Mereka sudah tentu hairan melihat suasana ini, jadi inilah aset yang kita ada,” katanya. -pr/BNN