KOTA KINABALU: Semua gerakan koperasi di Sabah diminta untuk memperkasakan
diri, meningkatkan daya saing, merebut peluang ekonomi yang tersedia, bekerjasama
dan bekerja keras untuk membuat perubahan ke arah transformasi Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata sehingga 31 Disember
lalu, Sabah mempunyai sebanyak 1,652 koperasi dengan keahlian seramai 339,000
berdasarkan statistik Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
Ini katanya membabitkan perolehan (turnover) koperasi sejumlah RM470.8 juta, dengan
kekuatan aset sebanyak RM 887.1 juta dan pemilikan syer dan yuran sebanyak
RM218.6 juta.
“Sabah adalah sebuah negeri yang kaya dengan sumber alam semulajadi. Justeru,
koperasi di Sabah haruslah bijak mengunakan sumber alam yang ada untuk
menjalankan aktiviti pengeluaran atau perkhidmatan yang boleh memberi pulangan
yang lumayan
“Dalam masa sama, gerakan koperasi di negeri ini perlu sentiasa bersiap sedia untuk
menyesuaikan diri dengan arus perubahan bagi menghadapi segala cabaran dalam
persekitaran perniagaan terutama selepas pandemik COVID-19 yang melanda seluruh
dunia.
“Saya juga yakin dengan kelonggaran terhadap pelaksanaan prosedur operasi standard
(SOP) yang diumumkan kerajaan sebelum ini, ekonomi negeri yang kembali rancak
memberi kelegaan kepada usahawan termasuklah gerakan koperasi. Ini terutamanya
koperasi yang menjalankan aktiviti pelancongan yang terjejas sepanjang pandemik
COVID-19, sejak lebih dua tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Hari Koperasi Sempena Sambutan 100
Tahun Gerakan Koperasi di Malaysia di Palm Square, di Kompleks Beli Belah Centre
Point di sini, pada Ahad.
Ucapan Ketua Menteri disampaikan Menteri Pembangunan Masyarakat dan
Kesejahteraan Rakyat, Datuk Shahelmey Yahya.
Sejajar dengan itu katanya, satu perkara yang penting dalam menjayakan
pembangunan koperasi ialah pihak kepimpinan dan pengurusan koperasi
bertanggungjawab dalam urusan mentadbir serta mengurus koperasi.
“Pemimpin sesebuah koperasi perlu merancang dan menilai pelaburan yang sesuai dan
boleh membawa pulangan kepada ahli tanpa mengabai matlamat utama koperasi untuk
meningkatkan perkhidmatan yang didapati dari koperasi yang dianggotai.
“Saya yakin sektor koperasi di negeri ini akan mampu berkembang dan bergerak seiring
dengan sektor perniagaan yang lain (swasta) sekiranya diurus tadbir dengan efisien,
telus dan profesional,” katanya
Beliau berkata kerjasama strategik antara SKM dengan agensi kerajaan negeri ini
seperti Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) yang
bertanggungjawab membantu pembangunan perindustrian dan keusahawanan di
negeri Sabah, adalah satu usaha yang amat dialu-alukan.
Katanya, ini sejajar dengan objektif pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya
(SMJ) 1.0 (2021-2025) yang antaranya memfokuskan kepada merangsang pemulihan
ekonomi dan meningkatkan ekonomi rakyat.
“Saya dimaklumkan bahawa sebelum ini pihak SKM Sabah pernah menyuarakan hasrat
agar portfolio koperasi dapat diletakkan dalam satu kementerian di bawah kerajaan
negeri Sabah, namun pihak kerajaan pada masa itu belum mengambil tindakan yang
sewajarnya.
“Oleh itu, saya akan bawa perkara ini ke Mesyuarat Kabinet Negeri Sabah untuk
dipertimbangkan,” katanya.
Beliau berkata, gerakan koperasi di Malaysia bermula sebelum merdeka lagi iaitu pada
tahun 1922 dan pada tahun ini genaplah 100 tahun kewujudan entiti koperasi di negara
ini.
“Di Sabah, permulaan penubuhan koperasi adalah pada tahun 1959, namun masih ada
koperasi yang tetap bertahan dan semakin aktif hingga ke hari ini iaitu Koperasi Green
Berhad yang didaftarkan pada 18 Ogos 1959.
“Suatu pencapaian yang membanggakan dan saya pasti ia menjadi semangat kepada
Gerakan koperasi di negeri ini,” katanya.-pr/BNN