Usaha bersepadu memantapkan permohonan bantuan JPKA

0
64
Ewon mendengar taklimat ringkas daripada Hassan

KOTA BELUD: Usaha bersepadu perlu dibuat bagi memantapkan proses permohonan, verifikasi dan penyaluran bantuan di bawah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA).

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Ewon Benedick berkata, ini penting bagi memudahkan para pemohon terutamanya warga tua menghantar permohonan mereka seterusnya membantu menyelesaikan masalah masyarakat berkaitan kebajikan

“Perkara-perkara berkaitan dengan permohonan bantuan kebajikan merupakan antara yang paling banyak disampaikan kepada saya dalam tiga bulan ini.

“Saya fikir ada keperluan untuk penyelarasan dan usaha bersepadu untuk memudahcarakan permasalahan yang berkaitan dengan bantuan kebajikan ini.

“Oleh itu, saya ingin melihat usaha bersepadu melibatkan program bantuan kebajikan, e-Kasih, touchpoints ADUN dan Kerajaan serta program peningkatan ekonomi yang bersesuaian dapat diperkasakan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan dan seterusnya diberi taklimat di Pejabat Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Kota Belud, di sini kelmarin.

Taklimat itu disampaikan oleh Pegawai Kebajikan Daerah Hassan Jamri.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, lawatan itu antaranya bertujuan untuk memudahcarakan secara bersekali permohonan-permohonan dan isu-isu yang telah disampaikan kepadanya dalam tiga bulan ini.

“Saya juga telah meminta salinan daftar senarai penerima bantuan kebajikan di seluruh kawasan DUN Kadamaian supaya saya boleh merancang integrasi program yang bersesuaian.

“Saya telah memaklumkan jabatan ini bahawa urusetia pejabat ADUN Kadamaian akan membantu memudahcarakan permohonan serta verifikasi di lapangan untuk menentusahkan permohonan yang telah dikemukakan,”katanya.

Beliau berkata, bagi memudahkan masyarakat yang tidak berkeupayaan dari segi fizikal untuk menguruskan permohonan kebajikan di pejabat kebajikan, kakitangan pejabat ADUN Kadamaian akan turun padang membantu membuat verifikasi.

“Kakitangan Pejabat Adun Kadamaian akan turun padang untuk membuat pengesahan samada melibatkan permohonan baru atau penerima sedia ada yang terputus bantuan atau yang memerlukan perlanjutan bantuan,” katanya.

Ewon turut menyatakan akan melihat penyelarasan pelaksanaan program baikpulih dan bina baru rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) supaya penerima bantuan kebajikan yang tidak termasuk dalam senarai e-Kasih dapat dipertimbangkan.

“Saya difahamkan penerima bantuan kebajikan tidak semestinya termasuk dalam senarai e-Kasih walaupun ada yang layak. Dalam masa yang sama, ada juga aduan dan rayuan agar senarai e-Kasih dikaji semula.

“Ini adalah antara lain perkara yang saya akan bawa dalam mesyuarat Focus Group Daerah dan juga dalam perbincangan dengan Bahagian Kesejahteraan Rakyat Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Persekutuan,” katanya.

Dalam taklimat tersebut, Ewon dimaklumkan bahawa setakat ini, seramai 1,507 penerima bantuan di bawah Kerajaan Persekutuan dan 633 penerima bantuan di bawah Kerajaan Negeri di seluruh Kota Belud.

Dalam lawatan itu, beliau bersetuju menyumbangkan dua unit laptop kepada Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Kota Belud untuk penambahbaikan perkhidmatan berkaitan urustadbir data.

Turut hadir Pengerusi Kelab Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Jimmy Barukan, Setiausaha Politik Carlye Lajimin dan Setiusaha Sulit Arron A.Guramon.-pr/BNN