KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mahu
kecekalan dan komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh setiap pelatih ketika dalam
latihan terus diamalkan semasa melaksanakan tugas sebagai seorang anggota
penyelamat di lapangan.

Beliau berkata sebagai perkhidmatan yang dianggap ‘a noble profession’ atau profesion yang mulia, masyarakat memandang tinggi terhadap kecekapan, kesiapsiagaan dan pengorbanan anggota bomba dalam memastikan keselamatan serta kesejahteraan rakyat terpelihara dan terjaga.

“Tradisi dan legasi ini hendaklah diwarisi setiap lapisan warga bomba, khususnya
pegawai baharu dalam perkhidmatan.

“Saya percaya latihan yang diperoleh terutama menerusi modul latihan asas Kursus
Sijil Sains Kebombaan ini akan merubah pelatih daripada seorang awam kepada
seorang yang mengamalkan budaya kerja perkhidmatan beruniform melalui
pembentukan keperibadian yang unggul, keberanian dan tidak mementingkan diri.

“Justeru, saya mahu semua anggota baharu seramai 148 orang ini akan
memanfaatkan sepenuhnya ilmu yang diperoleh sepanjang latihan untuk menjalankan
tugas dengan lebih berkesan,” katanya ketika merasmikan Majlis Perbarisan
Pertauliahan Sijil Sains Kebombaan Siri 1/2022 di Balai Bomba dan Penyelamat
Malaysia di sini pada Khamis.

Terdahulu Ketua Menteri dianugerahkan pangkat Timbalan Kanan Pesuruhjaya
Bomba Kehormat dalam satu Istiadat Penganugerahan Pangkat Kehormat yang
disempurnakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Dato
Sri Ts Mohammad Hamdan Wahid.

Turut menerima penganugerahan ialah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan
negeri yang juga Menteri Kewangan II negeri, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, yang dianugerahkan pangkat Timbalan Pesuruhjaya Bomba Kehormat.

Yang turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr Safar
Untong; Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Sarul Bahiyah Abu dan Pengarah
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri Sabah, Abdul Razak Muda.

Hajiji turut menyambut baik usaha Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia telah
mengambil langkah proaktif dengan menempatkan pasukan Mountain Search and
Rescue ( MOSAR ), yang mempunyai kepakaran yang khusus dan kompeten bagi
melaksanakan kerja penyelamatan di gunung.

“Tragedi gempa bumi di Gunung Kinabalu pada tahun 2015 telah memberikan
pengajaran kepada kita untuk sentiasa bersedia menghadapi bencana seumpamanya
dan penubuhan MOSAR adalah satu tindakan yang tepat.

“Berdasarkan kepada statistik penyelamatan oleh MOSAR, sebanyak 26 kes
penyelamatan telah dilaksanakan oleh pasukan itu bagi tahun 2022 bermula Januari
hingga Jun,” katanya.

Hajiji berkata, kecemerlangan sesebuah pasukan atau organisasi adalah berlandaskan
tahap disiplin warganya. Oleh itu katanya, penjawat awam diseru untuk sentiasa mengamalkan integriti dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan,” katanya.

Beliau turut merakamkan terima kasih kepada pasukan bomba atas segala khidmat
bakti yang telah dicurahkan oleh Wira-wira Merah dalam menjaga kesejahteraan dan
keselamatan nyawa dan harta benda khususnya di Negeri Sabah.-pr/BNN